Oleh: Fairus Mohd
PEKAN, 18 FEBRUARI 2022 : Gabungan sinergi antara Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Pantai Timur dengan kerjasama Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pahang dilihat mampu menambah baik kualiti garis panduan pelesenan di negeri ini.
Usaha berkenaan dimeterai melalui penganjuran Bengkel Pemurnian Laporan Semakan Garis Panduan Pelesenan Negeri Pahang di bawah inisiatif Pelan Anti-rasuah Nasional (NACP) dan merupakan kesinambungan sesi libat urus dan kerjasama antara MPC dan semua PBT Negeri Pahang yang telah diadakan pada tahun 2021.
Sesi bengkel bertempat di Hotel Ancasa Royal, Pekan ini diadakan bagi memurnikan dan memperincikan 37 Garis Panduan daripada 12 buah PBT di Negeri Pahang termasuk Lembaga Pembangunan Tioman.
Dokumen garis panduan yang dibangunkan ini akan dimuatnaik ke dalam Unified Public Consultation (UPC) bagi tujuan mendapatkan maklumbalas daripada pihak berkepentingan.
Setiausaha Bahagian, Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Encik Adel Al Hashir Kamalal Hashir berkata, inisiatif berkenaan merupakan mekanisme yang lebih telus dalam proses pengurusan permit dan lesen di peringkat pihak berkuasa tempatan.
“Ini juga merupakan usaha bersama untuk meningkatkan integriti dan mengelak berlakunya rasuah. Selaras dengan pelaksanaan inisiatif ini iaitu penambahbaikan ke atas kualiti garis panduan pelesenan perniagaan oleh kementerian, agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Penambahbaikan garis panduan pelesenan ini akan dapat meningkatkan ketelusan, produktiviti, dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan apabila berurusan dengan pelanggan seterusnya mengukuhkan perkhidmatan awam”,” katanya.
Sementara itu Pengarah MPC Wilayah Pantai Timur, Encik Mohd Azwan Mohd Salleh berkata, MPC kini dalam fasa membuat semakan terhadap lesen dan permit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Inisiatif ini juga merupakan satu usaha antara Kerajaan Negeri dan MPC wilayah pantai timur untuk menyokong program “Pahang Produktif” dengan meletakkannya sebagai salah satu faktor bagi peningkatan produktiviti negeri.
“Negeri pahang juga antara merupakan negeri terawal yang melaksanakan inisiatif ini,” katanya. PAHANGMEDIA