Tukang Keris, Encik Wan Islahuddin Ali menempa besi untuk dijadikan bilah keris di bengkelnya di Kampung Salong, Chini, Pekan.

PAK TEH PENYAMBUNG LEGASI PEMBUATAN KERIS PAHANG

Foto: Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi

KUANTAN, 19 FEBRUARI 2022: Sebut sahaja keris sudah pastinya ramai yang berkata ia merupakan senjata pahlawan di alam Melayu selain melambangkan jati diri bangsa Melayu itu sendiri.

Apabila kita membicarakan mengenai jenis-jenis keris pula ramai yang akan berkata adanya Keris Kelantan, Keris Kedah, Keris Terengganu, Keris Perak dan juga Keris Bugis. Tetapi berapa ramaikah daripada kita yang mengetahui adanya Keris Pahang.

Mendekati tukang keris atau pandai besi di Kampung Salong, Chini, Pekan, Encik Wan Islahuddin Ali, 43, merupakan antara tukang keris di Negeri Pahang yang masih aktif menempa Keris Pahang sehingga ke hari ini.

Tukang Keris, En Wan Islahuddin Ali menceritakan mengenai ciri-ciri bilang keris lok tiga di bengkelnya di Kampung Salong, Chini, Pekan.

Beliau berkata, minat untuk membuat keris bermula pada tahun 2000 lagi apabila beliau sering melihat tukang besi menempa Keris Pahang dan pada tahun 2018 beliau kemudiannya bergerak secara aktif sepenuh masa.

Menurut beliau di Pahang masih terdapat ramai tukang-tukang keris tetapi yang beliau ketahui masih aktif cuma ada empat orang sahaja iaitu beliau sendiri, Pok Li Jaya Gading, Rozi Kampung Kurnia dan seorang perintis yang tinggal di Beserah, Kuantan.

Mengusahakan bengkel pembuatan keris yang dinamakan Salong Forge And Cutlery, Wan Islahuddin atau lebih mesra disapa dengan panggilan Pak Teh oleh penduduk tempatan berkata, beliau hanya menempa Keris Pahang sahaja bagi mengekalkan warisan tradisi dan keunikannya.

Tukang Keris, En Wan Islahuddin Ali menceritakan mengenai ciri-ciri kerawang yang ada pada Keris Pahang di bengkelnya di Kampung Salong, Chini, Pekan.

Menceritakan ciri-ciri unik yang ada pada Keris Pahang, Wan Islahuddin berkata, Keris Pahang ada banyak jenis dan bermacam ragam ‘dapurnya’ atau bentuk keris dan yang terkenal adalah keris lok tiga jenis tulang bulat dengan kepanjangannya 13, 15 dan 17 inci.

“Salah satu lagi ciri yang kita nak kenal biasanya umbinya lebar dan yang keistimewanya terletak pada kerawangnya yang tak akan jumpa pada keris-keris lain.

“Kerawang yang ada pada keris Pahang juga berbeza mengikut tempat iaitu kerawang di sebelah kawasan hulu (Pahang) lain coraknya, pertengahan lain dan di sebelah hilir Pahang seperti di Pekan juga lain kerana ia mempunyai identitinya tersendiri,” katanya.

Menceritakan lagi bentuk keris Pahang, Wan Islahuddin berkata, terdapat dua bentuk yang lazimnya ditempa iaitu bentuk lurus besi sebatang atau sepukal dan juga berpamor.

Menurutnyanya lagi, keris berpamor agak rumit untuk dihasilkan kerana ia merupakan satu proses mencapurkan besi-besi yang berbeza untuk ditempa bagi menghasilkan satu bentuk besi padu.

“Keris berpamor lazimnya mengambil masa satu bulan atau lebih untuk dihasilkan memandangkan prosesnya agak rumit. Biasanya saya akan menggunakan tiga besi berbeza iaitu besi putih dah hitam bagi menghasilkan coraknya tersendiri.

“Menempa bilah keris juga memerlukan kesabaran yang tinggi kerana ia melibatkan proses-proses seperti menempa, membentuk, mengikir, menyepuh dan mengukir,” katanya.

Menyentuh mengenai harga, Wan Islahuddin menjelaskan, harga bagi bilah keris sepukal dengan penyudah perhalusan ialah RM750 hingga RM2,500 manakala bagi bilah keris berpamor pula harganya bermula RM950 hingga RM4,000.

“Untuk tempahan, mereka yang berminat boleh hubungi saya melalui Facebook Wan Islahuddin Wan Ali atau 013-2561134,” katanya.

Beliau juga berharap pembuatan Keris Pahang ini ada penyambung legasinya agar warisan keris ini tidak hilang ditelan masa dan terus kekal untuk generasi akan datang.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download