Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan bersama mengayuh basikal mengelilingi UMP
KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG BERKENAN TERIMA LANTIKAN SEBAGAI PENAUNG DIRAJA SUKARELAWAN UMP
Oleh: Fairus Mohd Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 18 FEBRUARI 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima pelantikan sebagai Penaung Diraja Sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Warkah pelantikan disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah Urusan UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dalam Program Kayuhan Lestari UMP: Inisiatif Penghijauan Kampus anjuran Yayasan UMP, semalam.
Turut hadir sama, Prof. Dato’ Ts Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP.
Menurut Tan Sri Dr Abdul Aziz, pelantikan ini seiring dengan hasrat universiti dalam memperkasa agenda kesukarelawanan di universiti ini sekaligus banyak menyumbang usaha dan khidmat bakti dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang menjadi agenda global seiring dengan 17 matlamat yang perlu dicapai seperti yang diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk semua negara menjelang 2030.
“Penglibatan pelajar dengan aktiviti sukarelawan bukan sahaja mampu meningkatkan tahap pencapaian mereka dari aspek kurikulum dan kokurikulum, malahan dapat menyemai rasa tanggungjawab yang tinggi untuk membantu komuniti sekeliling yang berada dalam keadaan yang memerlukan.
“Budaya kesukarelawan dalam kalangan generasi muda perlu diperkasakan kerana ia mampu meningkatkan semangat cintakan negara, saling hormat menghormati dan toleransi antara kaum di negara ini,” katanya.
Menurutnya lagi, penubuhan Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) yang ditubuhkan di universiti ini memainkan peranan terhadap usaha menyemarakkan kesukarelawanan, ketamadunan dan kajian strategik terutamanya di negeri Pahang dan di negara ini.
Pada program sama KDYMM Pemangku Raja Pahang turut berkenan bersama mengayuh basikal mengelilingi UMP sebelum berkunjung melawat Rimba Lestari yang menempatkan Haif khas, koloni Kelulut ECOSY-Hive iaitu perumah koloni Kelulut yang dibangunkan bersama penyelidik UMP iaitu Prof. Madya Dr. Mohamad Firdaus Basrawi dan Persatuan Usahawan Kelulut Pahang (PUKP).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku turut berkenan menyempurnakan penanaman Pokok Kebangsaan Malaysia, iaitu Merbau di Rimba Lestari ini.
Terdapat lebih 1800 pokok daripada 24 jenis pokok rimba dan pokok kayu tropika terdapat di Rimba Lestari ini antaranya seperti Tongkat Ali, Meranti Tembaga, Cengal, Beruas, Ketapang, Jelutung, Simpoh Air, Meranti Rambai Daun, Sungkai dan Pokok Peluru ditanam di sini.
Baginda kemudiannya berkenan menerima plat kenderaan khas “UC 2” bersempena sambutan ulang tahun ke-20 UMP di mana kombinasi kedua-dua huruf UC ini diambil bagi mewakili huruf “U” yang juga awalan perkataan universiti iaitu UMP manakala “C” adalah nombor pendaftaran kenderaan rasmi bagi negeri Pahang selain keistimewaan tersendiri dengan perkataan unik “You See”. -PAHANGMEDIA