YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan surat lantikan kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Encik Zaidi Ismail di Majlis Perbandaran Bentong, hari ini.
Oleh: Fairus Mohd Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
BENTONG, 16 FEBRUARI 2022 : Kenaikan pangkat di atas kepercayaan dalam melaksanakan amanah yang diberikan menjadi azimat untuk individu yang dilantik terus mencipta kecemerlangan.
Dilantik menjadi Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Encik Zaidi Ismail bertekad dalam usaha untuk menjayakan misi dan harapan sekolah agama di negeri ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Encik Zaidi Ismail.
“Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas kenaikan pangkat ini. InsyaAllah kita akan berusaha bersama-sama untuk memajukan Sekolah Menengah Agama di negeri Pahang.
“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YH Dato Pengarah (JAIP), YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak serta Kerajaan Negeri di atas lantikan ini,” katanya yang bertugas di Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan sebelum ini.
Bakal memikul amanah sebagai Pengetua di Sekolah Menengah Agama Dong, Dr. Saliturahim Alias turut menghargai kenaikan pangkat yang diterima hari ini.
Pengetua di Sekolah Menengah Agama Dong, Dr. Saliturahim Alias.
“Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas pelantikan ke Gred DG48 hakiki, terima kasih YAB Menteri Besar Pahang bersama kepimpinan Kerajaan Negeri, Exco Pendidikan serta Pengarah JAIP.
“Melalui pelantikan ini saya akan berusaha untuk meningkatkan imej dan kecemerlangan sekolah menengah agama di negeri Pahang,” katanya yang sebelum ini bertugas di Sekolah Menengah Agama Guai, Bera.
Pengetua baru Maahad Sultan Ahmad Shah, Jengka, Encik Azmy Murad Mohamed Yatim turut menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Negeri di atas kepercayaan yang diberikan.
Encik Azmy Murad Mohamed Yatim
“Terima kasih atas lantikan sebagai pengetua terutama kepada JAIP yang selama ini memberi kepercayaan kepada saya sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan.
“InsyaAllah saya akan berusaha dengan sehabis baik sebagai pengetua dan menjadikan Sekolah Menengah Agama di negeri ini lebih berdaya saing dengan sekolah-sekolah lain,” katanya.
Majlis ringkas penyampaian surat lantikan telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di Majlis Perbandaran Bentong, hari ini.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan cek sumbangan kepada lima penerima antaranya Persatuan Penerbit Program TV dan Drama Pahang (Menerbitkan Rancangan Dokumentari Dimensi Warisan), Badan Kebajikan PAID Bera (Program Jati Diri Ahli Badan Kebajikan PAID Bera) dan Persatuan Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Pahang. -PAHANGMEDIA