Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika melakukan pemantauan ke menara telekomunikasi di Kampung Pelak, Pekan.
DUA LAGI PENCAWANG BARU DIBINA PEKAN
Oleh : Fairus Mohd Foto : Mahathir Ali
PEKAN, 16 FEBRUARI 2022 : Usaha untuk menambahbaik perkhidmatan internet di seluruh Negeri Pahang yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bersama-sama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa1 tahun 2020–2022 kini berada pada landasan yang tepat dan menampakkan hasil.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pemantauan yang dilakukan melalui lawatan ke tapak pembinaan dan pencawang yang dinaiktaraf kini dilihat berjalan dengan lancar.
“Saya bersama-sama dengan pihak SKMM serta pegawai-pegawai dari syarikat telco telah adakan lawatan ke kawasan-kawasan yang telah didirikan pencawang seperti di Kampung Langgar, dan satu tapak bagi pencawang baru di Kampung Pelak yang akan dapat memberi perkhidmatan internet yang ditambahbaik lagi.
“Pencawang di sini akan melibatkan lebih 500 orang penduduk di Kampung Pelak, Kampung Bunut, Kampung Tanjung Cempaka dan kawasan sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas menerima taklimat dari pihak SKMM berkenaan pembinaan pencawang baru di Kampung Pelak.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika melakukan pemantauan ke menara telekomunikasi di Kampung Pelak, Pekan.
Turut hadir Pengarah SKMM Negeri Pahang, Tuan Haji Mohd Faisal Md Nor; Pegawai Daerah Pekan, YH Dato’ Zaliza Zulkefli; Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, YB Dato’ Khairuddin Mahmud; wakil syarikat-syarikat telekomunikasi serta pemimpin setempat.
Dalam pada itu beliau berkata, pembinaan pencawang baru di sini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri bagi memastikan perlaksanaan Pelan Jendela untuk tahun ini berjalan dengan baik.
“Di Negeri Pahang sahaja, sebanyak 191 pencawang baru akan dibina termasuk sebanyak 22 pencawang baru yang akan dibina di Pekan. Dua daripadanya telah siap dibina iaitu di Kampung Alor Ara dan Kampung Langgar.
“Jadi kita berharap lawatan yang diadakan bersama SKMM ini dapat melancarkan lagi usaha yang dilakukan di mana setakat ini sebanyak 26 buah menara yang telah siap dibina di seluruh Pahang,” katanya.
Sementara itu, beliau bersyukur dengan maklumbalas yang sangat baik diterima daripada masyarakat setempat sekaligus mengesahkan talian komunikasi dan internet yang dimanfaat kini berada di tahap yang baik.
“Kita mahu perkara ini dipertingkatkan lagi bagi memberi keselesaan kepada penduduk di kawasan terlibat. Harapan saya kemudahan komunikasi dan internet yang lebih baik dapat disediakan terutamanya di kawasan-kawasan mendesak seperti sekolah selepas semua menara siap dibina dan stesen pemancar selesai menjalani kerja-kerja naiktaraf.
“Terima kasih kepada pihak SKMM yang bersama sempena lawatan saya kali ini selain Pejabat Daerah dan Tanah Pekan serta wakil-wakil daripada syarikat telekomunikasi yang turut sama serta serius dalam usaha menyediakan perkhidmatan internet terbaik kepada masyarakat di kawasan terlibat,” katanya. -PAHANGMEDIA