Ahli Dewan Negeri (ADN), YB. Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Shariff menyampaikan replika kunci rumah kepada seorang penerima Penempatan Semula Nelayan (PSN) Kampung Bunut Rendang, di Kuantan, pagi tadi.
KERAJAAN PAHANG SEDIA RUMAH SELESA KEPADA 125 NELAYAN PAHANG
Oleh : Fansurina Abdullah Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Shamim Aiman Shafik Fauzan
KUANTAN, 16 FEBRUARI 2022 : Program Penempatan Semula Nelayan (PSN) di bawah inisiatif Kerajaan Pahang menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) menyediakan rumah yang selesa kepada 125 nelayan di negeri ini.
Projek ini yang dimulakan pada 2012 hingga 2014 telah siap sepenuhnya pada Januari 2019 dengan bilangan rumah sebanyak 154 unit dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti surau, jeti tambatan, substation TNB, loji, taman permainan dan lain-lain yang melibatkan tanah berkeluasan 45.257 ekar.
Majlis penyerahan kunci rumah telah disempurnakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan seramai 84 penerima yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Jun 2020.
Manakala fasa kedua pula telah disampaikan kepada 41 penerima oleh Ahli Dewan Negeri (ADN), YB. Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Shariff di Surau Penempatan Semula Nelayan (PSN) Kampung Bunut Rendang, di Kuantan, pagi tadi.
Encik Md. Rizuan Md. Roni, 37
Sementara itu, seorang penerima, Encik Md. Rizuan Md. Roni, 37, berkata, PSN merupakan insiatif kerajaan dalam usaha menyediakan penempatan yang selesa kepada para nelayan.
Beliau yang menyewa selama 20 tahun Peramu sangat bersyukur kerana memperoleh rumah sendiri dan berhasrat untuk membawa ketiga-tiga ahli keluarganya menetap di rumah berkenaan.
Encik Md Ya Musa, 63.
“Nak cari rumah yang murah mcm ni memang payahlah, sekarang ni pun kalau rumah macam ni, kalau market pun RM100,000 dah. Tapi saya syukur alhamdulillah lah dapat rumah macam ni, aset bagi sayalah,” katanya.
Manakala, Encik Md Ya Musa, 63 tahun, yang kini menyewa di Balok turut menyatakan kegembiraan dan syukur kerana akhirnya memiliki rumah sendiri yang selesa untuk keluarganya.
Puan Faridah Ahmad, 51.
“Suka lah, duduk rumah orang, susah kalau tuan tanah nak tanah untuk bina rumah dia, kita terpaksa pindahlah, jadi sekarang ni kita ada rumah sendiri, kalau orang halau pun kita boleh balik rumah kita sendiri dah,” katanya.
Seorang lagi penerima, Puan Faridah Ahmad, 51, yang mewakili suaminya, Encik Azhar Mansur, 48, sangat bersyukur selepas enam tahun menyewa di Flat Pak Mahat dan turut menyatakan penghargaan kepada pihak kerajaan yang menyediakan inisiatif PSN kepada golongan nelayan sekaligus membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap semua peringkat masyarakat.
Encik Mohd Rudi Mohd Yazid, 37.
“Saya berasa gembira sebab dapat rumah, tak pernah dapat kan, terima kasihlah kepada Kerajaan Pahang yang mengusahakan projek rumah ni (PSN),” katanya.
Manakala seorang lagi penerima, Encik Mohd Rudi Mohd Yazid, 37, berkata, selepas 15 tahun menyewa rumah di Cenderawasih, akhirnya impian memiliki rumah sendiri untuk memberi keselesaan kepada keluarganya tercapai.
“Sukalah maknanya boleh lah simpan duit sikit-sikit sebab sebelum ini menyewa, rumah sekarang dah habis bayar. Saya ucapkan terima kasih kepada persatuan nelayan sebab beri rumah kepada saya sebab selama ni menyewa,” katanya. – PAHANGMEDIA