Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 28 JANUARI 2022 : Dua premis makanan diarah tutup sementara bermula hari ini kerana berada dalam keadaan kotor dan melanggar beberapa peraturan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus berkata pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) telah menjalankan operasi bersepadu berkenaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), Akta Makanan 1983, dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.
“Hari ini kita telah buat dua penutupan premis kerana rating yang telah kita berikan kepada mereka itu sangat rendah, kurang daripada 60 peratus dan ini merupakan sesuatu yang dukacita sebenarnya.

“Kita lihat dapur mereka sangat kotor, kita dapati banyak dapur yang ada najis tikus, najis kucing dan kita juga dapati peti sejuk yang bercampur dengan makanan yang dah siap dimasak dengan bahan mentah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Operasi Bersepadu Mega Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), Akta Makanan 1983, dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 di daerah ini.
Tambah beliau lagi, selain daripada dua premis berkenaan, lima lagi premis dan dua individu telah diberikan kompaun dalam operasi ini.
“Kita juga telah mengeluarkan dua kompaun kerana gagal memakai pelitup muka, dan kita juga telah mengeluarkan notis kompaun kepada lima buah premis disebabkan ada kegagalan pematuhan kebersihan seperti tidak memakai apron,” katanya.
Menurut beliau lagi, operasi bersepadu ini meliputi 23 kawasan di sekitar daerah ini dengan menumpukan kawasan tumpuan awam yang dikuatkuasakan oleh 85 anggota kesihatan.
Beliau berkata bagi tahun 2021 sebanyak 2,091 notis kesalahan berjumlah RM515,900 telah dikeluarkan dibawah PPKHT 2004.
“Kesalahan utama yang kerap dilakukan semestinya merokok di tempat larangan merokok bawah Peraturan 11 PPKHT 2004 iaitu 1,836 notis atau 87.6 peratus.
“Bagi tempoh 1 Januari sehingga 22 Januari pula, sebanyak 115 notis kesalahan bernilai RM23,250 telah dikeluarkan,” katanya.
Menurut beliau lagi, sebanyak 2,040 kompaun bernilai kira-kira RM4 juta telah dikeluarkan di bawah Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Akta 342.
“Daripada jumlah itu, 1,995 kompaun dikeluarkan atas kesalahan individu manakala 45 kompaun dikeluarkan atas kesalahan syarikat.
“Kebanyakkan kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 16 iaitu gagal menggunakan aplikasi MySejahtera iaitu 903 kompaun atau 44.3 peratus, gagal memakai pelitup muka sebanyak 578 kompaun, dan lain-lain kesalahan iaitu 345 kompaun,” katanya.
Tambah beliau lagi, sebanyak 1,586 notis dikeluarkan dibawah Akta Makanan 1983 dengan nilai kompaun sebanyak RM304,150.
“Bagi tempoh 1 Januari sehingga 22 Januari 2022 pula sebanyak 178 notis kesalahan bernilai RM36,300 terutamanya kegagalan pengendali makanan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya. -PAHANGMEDIA