Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 28 JANUARI 2022 : Sebanyak 19 kes positif COVID-19 berkaitan varian Omicron telah direkodkan di negeri ini melibatkan lima daerah setakat ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus berkata sebahagian besar kes positif dengan varian Omicron ini melibatkan jemaah yang pulang daripada menunaikan umrah.
“Setakat ini Pahang melaporkan 19 kes yang disahkan melalui ujian makmal melibatkan kes positif varian Omicron.
“Ia melibatkan daerah Jerantut dengan lima kes; tujuh kes di Kuantan; dua kes di Rompin; empat kes di Temerloh dan satu kes di Bentong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Operasi Bersepadu Mega Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), Akta Makanan 1983, dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 di daerah ini.
Tambah beliau lagi, sebanyak 15 kluster pendidikan turut direkodkan setakat ini melibatkan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, dan institusi pendidikan di negeri ini.
“Sehingga hari ini, sejak sekolah dibuka, kita telah melaporkan sebanyak 15 Kluster Pendidikan dengan jumlah pelajar terlibat adalah 554 orang.
“Dan kes yang masih aktif yang kita kesan adalah di tujuh buah kluster iaitu di Kluster Kolej Vokasional Bentong, di Kolej Proresional Rompin, dan Kluster Jalan Medang,” katanya.
Beliau berkata antara faktor utama kluster pendidikan berlaku antaranya adalah ketiadaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikawasan terlibat.
“Kita dapati tiada atau kurang pematuhan SOP di luar bilik darjah atau asrama. Kedua masih ada lagi warga di sekolah atau institusi pendidikan yang masih hadir walaupun bergejala.
“Ketiga, mereka yang bergejala ini lambat membuat pemeriksaan sehingga mengakibatkan berlakunya penularan. Dan keempat, tiada pengudaraan yang mencukupi di kawasan terlibat.
“Jadi, kita harap perkara seperti ini dapat diberi perhatian oleh ibu bapa, pelajar atau guru atau kakitangan sekolah dan institusi (pendidikan) terbabit supaya kita dapat memastikan tidak ada lagi kluster baharu muncul selepas ini,” katanya.
Mengulas mengenai suntikan vaksinasi kanak-kanak 5 tahun sehingga 11 tahun yang akan mula dilaksanakan pada 3 Februari ini, beliau berkata sebanyak 205,986 kanak-kanak telah dikenalpasti untuk menerima suntikan berkenaan.
“Kita sekarang dah lakukan koordinasi bersama pihak bertanggungjawab dan banyak kaedah yang dibincangkan bagi memudahkan proses ini.
“Kita akan guna kaedah yang kita rasa sesuai bagi tempat suntikan, sama ada guna klinik kesihatan dan berkemungkinan akan guna kaedah sama macam suntikan kepada kanak-kanak 12 tahun sehingga 17 tahun yang melibatkan sekolah yang kita pilih bagi menjadi pusat suntikan vaksinasi COVID-19,” katanya. -PAHANGMEDIA