Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 26 JANUARI 2022 : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang kini bersiap sedia menghadapi sebarang insiden kebakaran hutan semasa musim kemarau.
Pengarah JBPM Pahang, YS. Ir. Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, tiga daerah yang telah dikenalpasti sering berlaku kebakaran ialah di Kuantan, Pekan, dan Rompin.
“Hotspot (kebakaran) yang biasa kita lihat, berdasarkan data pada tahun lepas, biasanya di kawasan Peramu, Rompin, Muadzam Shah, dan juga di Gebeng serta Penor.
“Jadi ia melibatkan tiga daerah iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin yang kita beri tumpuan di mana kita dah mula bersedia kerana kita telah mula menghadapi keadaan cuaca yang panas sekarang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2022 JBPM Pahang di Indera Mahkota, hari ini.

Tambah beliau lagi, kawasan yang pernah ditenggelami banjir baru-baru ini turut meningkatkan lagi risiko kebakaran hutan lebih besar pada tahun ini.
“Berikutan daripada kejadian banjir Monsun Timur Laut 2021 baru-baru ini, yang mana ada beberapa kawasan yang ditenggelami air, apabila air telah kering, kebanyakan pokok renek atau lalang di kawasan tersebut menjadi kering.
“Dengan cuaca yang begitu panas ini, risiko pokok-pokok yang mati dan kering ini, kita bimbang akan berlaku kebakaran hutan atau kebakaran tanah gambut yang besar,” katanya.
Menurut beliau lagi pihaknya meminta orang ramai yang menjalankan aktiviti di hutan, atau perokok untuk memadamkan terlebih dahulu puntung rokok atau unggun api bagi mengelakkan berlakunya kebakaran.
Tambah beliau lagi, pihaknya juga telah menjalankan Ops Tahun Baharu Cina (TBC) di tiga lokasi iaitu Genting Sempah, Temerloh, dan Gambang bermula Isnin lepas.
“Kita juga telah menggerakkan sebuah jentera bersama lapan anggota bagi setiap lokasi di mana mereka membuat rondaan di jalan raya utama sekiranya berlaku kemalangan dan sebagainya,” katanya. -PAHANGMEDIA