Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 26 JANUARI 2022 : Sebanyak 90 buah masjid dan surau di sekitar negeri ini yang terjejas akibat bencana banjir akan dibaikpulih selepas peruntukan berkenaannya diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ucapan penghargaan harus ditujukan kepada YAB Menteri Besar Pahang yang begitu prihatin dengan keadaan masjid-masjid terlibat.
“Banjir yang melanda akhir tahun lalu menyebabkan banyak kerosakan sekaligus merencatkan aktiviti keagamaan di setiap masjid dan surat yang turut ditimpa musibah sama.
“Perbincangan yang dilakukan turut mempersetujui usaha membangunkan Masjid Kampung Tebal Temerloh, Masjid Kampung Bukit Lada Temerloh dan Masjid Kampung Batu 8 Pekan di mana kesemua masjid ini di dalam status terkesan dan mendesak.
“Peruntukan ini akan memudahkan urusan berkaitan dan orang ramai akan dapat kembali memanfaatkan masjid dan surau terutamanya bagi menunaikan solat dan sebagainya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Sementara itu beliau berkata, pada mesyuarat sama seramai 100 orang guru-guru Aspa juga akan dilantik sebagai guru di bawah Kerajaan Negeri Pahang dibawah perlantikan COS.
“Usaha menaiktaraf guru-guru Sekolah-Sekolah Agama Rakyat turut akan dipergiatkan selain menaikkan elaun pemeriksa kertas peperiksaan Sekolah Menengah Agama.
“Kita memerlukan wakaf Sekolah Menengah Agama Negeri bagi membantu pembinaan Sekolah-Sekolah Agama dan Rakyat,” katanya.
Beliau turut menyampaikan penghargaan di atas kesungguhan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan jawatankuasa yang bergerak mengenalpasti premis-premis yang mempunyai kaitan untuk perhatian dan dibantu. -PAHANGMEDIA