Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 19 DISEMBER 2021 : Mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini meningkat kepada 15,846 orang melibatkan 4,406 keluarga setakat 8 malam hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata ini kesemua mangsa dipindahkan ke 201 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan sembilan daerah.
“Di Kuantan, seramai 6,326 mangsa daripada 1,822 keluarga telah dipindahkan ke 33 PPS yang ada, Temerloh 2,420 mangsa daripada 672 keluarga dipindahkan ke 35 PPS, dan Raub 1,699 mangsa daripada 462 keluarga dipindahkan ke 36 PPS.
“Daerah Lipis pula seramai 1,515 mangsa daripada 447 keluarga dipindahkan ke 35 PPS, Maran 1,118 mangsa daripada 275 keluarga dipindahkan ke 22 PPS, dan Jerantut 1,089 mangsa daripada 288 keluarga dipindahkan ke 26 PPS.
“Bentong pula seramai 1,044 mangsa daripada 271 keluarga dipindahkan ke dua PPS, Pekan seramai 566 mangsa daripada 155 keluarga dipindahkan ke 10 PPS, dan Bera seramai 69 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan ke dua PPS setakat ini,” katanya.
Beliau berkata keadaan banjir di negeri ini juga menunjukkan tren meningkat setakat petang ini berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang.
Sementara itu, beliau berkata bagi penutupan jalan mengikut daerah, setakat 6 petang ini sebanyak 18 jalan melibatkan lima daerah masih kekal ditutup buat masa ini.
“Di Jerantut, jalan yang ditutup adalah Jalan Link Kota Gelanggi, Simpang Batu Embun-Sempadan Kuala Lipis, Simpang Batu Embun, Jalan Bukit Puas-Gintong, Jalan Pulau Tawar-Durian Hijau, Jalan Sungai Lekok-Jerangsong, Jalan Ulu Retang-Merting, dan Jalan Sungai Yap-Pasir Tambang.
“Daerah Raub pula ialah di Jalan Sengkela-Chenua, Jalan Kuala Semantan, dan Jalan Cheroh-Gersing. Di Maran ialah di Jalan Serengkam.
“Manakala di Lipis di Jalan Bukit Kota-Aur Gading, manakala di Kuantan ialah di Jalan Sungai Lembing, Jalan Kuantan-Endau, Jalan Air Hitam-Kampung Teluk Mahang, Jalan Sri Damai, dan Jalan Jaya Gading,” katanya.
Tambah beliau, paras air sungai utama di negeri ini juga majoritinya telah melepasi tahap berbahaya di semua daerah dengan menunjukkan tren meningkat. -PAHANGMEDIA