LOJI RAWATAN AIR HENTI TUGAS AKIBAT BANJIR

KUANTAN, 19 DISEMBER 2021: Sebanyak 13 Loji Rawatan Air (LRA) yang melibatkan daerah Kuantan, Temerloh, Bentong, Lipis dan Raub tidak dapat beroperasi akibat terkesan dengan kejadian banjir yang berlaku pada masa ini.

Ketua Pegawai Eksklusif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, penutupan LRA ini telah bermula pada 18 Disember lalu dengan penutupan empat LRA.

Beliau berkata, penutupan ini telah meningkat kepada 13 LRA disebabkan peningkatan paras air sungai dan terputus bekalan elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Berikutan daripada henti tugas LRA ini, telah mengakibatkan sebanyak 53,916 akaun pengguna mengalami masalah gangguan bekalan air,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, bantuan penghantaran bekalan air bersih dan tangki statik juga telah ditempatkan ke kawasan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang terjejas.

Namun katanya, masih terdapat banyak kawasan yang dinaiki air menyebabkan kesukaran penghantaran bekalan air terawat melalui lori tangki.

“PAIP menasihatkan orang ramai agar senantiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.- PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download