Keadaan banjir di Taman Guru di Kuantan

(KEMASKINI) MANGSA BANJIR DI PAHANG MENINGKAT KEPADA 12,631 ORANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 19 DISEMBER 2021 : Mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini meningkat kepada seramai 12,631 orang melibatkan 3,549 keluarga setakat jam 4 petang hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata ini kesemua mangsa dipindahkan ke 180 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan sembilan daerah.

“Di Kuantan, seramai 5,679 mangsa daripada 1,679 keluarga telah dipindahkan ke 30 PPS yang ada, Raub seramai 1,398 mangsa daripada 377 keluarga dipindahkan ke 35 PPS, dan Temerloh, seramai 1,294 mangsa daripada 354 keluarga dipindahkan ke 29 PPS.

“Selain itu, di Bentong pula seramai 1,044 mangsa daripada 271 keluarga dipindahkan ke dua PPS setakat ini, Lipis seramai 1,038 mangsa daripada 318 keluarga dipindahkan ke 34 PPS, dan Maran seramai 1,008 mangsa daripada 245 keluarga dipindahkan ke 20 PPS.

“Di Jerantut seramai 678 mangsa daripada 175 keluarga dipindahkan ke 20 PPS, Pekan seramai 432 mangsa daripada 116 keluarga dipindahkan ke lapan PPS, dan Bera seramai 69 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan ke dua PPS setakat ini,” katanya.

Beliau berkata musibah banjir ini juga telah mengorbankan seorang lagi mangsa di Kuantan menjadikan jumlah keseluruhan korban kepada tiga orang iaitu dua di Kuantan, dan seorang di Raub.

Manakala bagi penutupan jalan mengikut daerah, sebanyak 18 jalan melibatkan lima daerah ditutup buat masa ini.

Jalan Kuantan-Pekan berdekatan dengan UNIPSAS yang terputus hubungan akibat banjir

“Di Jerantut, jalan yang ditutup adalah Jalan Link Kota Gelanggi, Simpang Batu Embun-Sempadan Kuala Lipis, Simpang Batu Embun, Jalan Bukit Puas-Gintong, Jalan Pulau Tawar-Durian Hijau, Jalan Sungai Lekok-Jerangsong, Jalan Ulu Retang-Merting, dan Jalan Sungai Yap-Pasir Tambang.

“Di Raub pula ialah di Jalan Sengkela-Chenua, Jalan Kuala Semantan, dan Jalan Cheroh-Gersing manakala Maran ialah di Jalan Serengkam.

“Di Lipis di Jalan Bukit Kota-Aur Gading, manakala di Kuantan ialah di Jalan Sungai Lembing, Jalan Kuantan-Endau, Jalan Air Hitam-Kampung Teluk Mahang, Jalan Sri Damai, dan Jalan Jaya Gading,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download