Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 3 SEPTEMBER 2021 : Jabatan Kesihatan Pahang menyasarkan 1.2 juta rakyat Pahang yang layak divaksin menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 menjelang 21 September ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus berkata, sehingga kini seramai 67.5 peratus rakyat telah menerima dos pertama mereka manakala 52.9 peratus telah lengkap menerima kedua-dua dos vaksin COVID-19.

“Kita dapati sebanyak 52.9 peratus daripada penduduk 1.175 juta penduduk Pahang yang sepatutnya layak mendapat vaksin, jadi, peratus populasi dewasan yang layak menerima vaksin telah melepasi 50 peratus tetapi masih lama lagi untuk kita unjurkan 100 peratus dos dua dewasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Piol, di Jerantut, hari ini.

Progran outreach vaksinasi yang dijalankan selama tiga hari itu telah berjaya memvaksin seramai 1,800 penduduk di kawasan terbabit.
Dalam pada itu, beliau berkata, bekalan vaksin COVID-19 ke Pahang adalah baik pada September ini, namun masih terdapat seramai 223,386 orang yang belum mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.
Justeru, JKNP sedang giat berusaha bagi memastikan kesemua rakyat mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera sebagai usaha untuk menghentikan penularan wabak pandemik ini.
Usaha turut dilakukan menerusi program outreach yang disasarkan ke lokasi luar bandar terutama kawasan yang sukar menerima akses dari luar bagi membantu memudahkan mereka mendapatkan suntikan vaksin selain mendaftar sebagai penerima.
“Semua Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di seluruh sedang giat menjalankan Program Outreach Vaksinasi untuk mencapai sasaran sepatutnya dan hari ini merupakan hari ketiga di kawasan ini dan kita dapati sambutan sangat baik dan kita dapati hampir 100 peratus penduduk di Felda Padang Piol telah berjaya kita suntik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa sambutan program vaksinasi di kalangan guru di seluruh negeri ini adalah baik dan tiada sebarang penolakan dilaporkan. – PAHANGMEDIA