Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato' Abd Rahim Muda (berdiri, dua dari kanan) menyaksikan ajlis Menandatangani Perjanjian Menaiktaraf Mini Zoo Teruntum di Pekarangan Lobi Utama Kompleks MBK hari ini.

KONSEP HYBRID ZOO BAKAL DIPERKENALKAN DI MINI ZOO TAMAN TERUNTUM

Oleh : Shazli Sufi Che Unik
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 3 SEPTEMBER 2021: Konsep Hybrid Zoo akan diperkenalkan sebagai salah satu daya tarikan baharu di Mini Zoo Taman Teruntum Kuantan (MZTT) di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, pembaharuan ini akan menjadi salah satu daya tarikan di Kuantan apabila dibuka gelembung pelancongan kelak.

Jelasnya, Hybrid Zoo ini merupakan satu usaha kerjasama antara syarikat swasta Wegrow Global Snd. Bhd (WGG) dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

“Ini merupakan satu projek yang baik dengan kehadiran pelabur daripada luar Pahang untuk melabur, ia akan membawa satu konsep baharu di Kuantan yang sebelum ini terkenal dengan pantai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Menaiktaraf Mini Zoo Teruntum di Pekarangan Lobi Utama Kompleks MBK di sini hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin, Pengarah MIDA Pahang, Puan Nadia Zam Zam dan Pengarah Eksekutif WeGrow Global Snd Bhd Encik Yong Lam Woei dan Encik Teh Eu Jin.

Konsep Hybrid Zoo ini mengabungkan elemen haiwan hidup dan haiwan animatronik, termasuk haiwan prasejarah seperti dinosaur.

Antara projek WGG ialah Dinasour Encounter yang telah dibangunkan di Pusat Sains Negara (PSN), Kuala Lumpur dan Zoo Melaka dimana membawa dinasour sebagai watak utama didalam pameran.

Namun di MZTT, konsep Hybrid Zoo yang bakal diperkenalkan akan lebih menyerlahkan elemen zoo disamping menghidupkan haiwan yang telah lama pupus seperti dinosaur.

Projek ini dilihat bukan sekadar projek hiburan semata mata tetapi ia lebih kepada edu-tourism yang membawa nilai pendidikan kepada pengunjung.

Bagaimanapun, haiwan hidup sedia ada di MZTT akan dikekalkan dan akan ada penambahan haiwan baharu kelak.

MZTT yang berkeluasan 11 ekar itu dijangka akan mula beroperasi pada Januari 2022 dengan berkonsepkan Hybrid Zoo ini diharapkan ia dapat menjadi salah satu daya tarikan perlancongan baharu di Kuantan. – PAHANG MEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download