Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 03 SEPTEMBER 2021 : Kerajaan Pahang menyumbangkan sejumlah RM67,500 kepada 95 penduduk di Felda Sungai Panching Utara yang menjadi mangsa ribut pada 10 Ogos lepas.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan ini adalah atas dasar keprihatinan Kerajaan Pahang dengan kemaslahatan rakyat di negeri ini.

“Kesemuanya 95 orang yang menerima sumbangan pada petang ini, melibatkan peruntukan RM67,500 dengan nilai sumbangan difahamkan adalah mengikut tahap kerosakan rumah yang dialami.
“Empat orang menerima RM3,000 setiap seorang, 20 orang menerima RM1,000 setiap seorang, dan, 71 orang menerima RM500 setiap seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Penyampaian Sumbangan Wang Ihsan Bencana Ribut Kepada Penduduk di Dewan Semai Bakti Felda Sungai Panching Utara, di sini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Paya Besar yang juga Timbalan Menteri Kewangan I , YB. Mohd Shahar Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Ahli Dewan Negeri (ADN) Panching, YB. Encik Mohd Tarmizi Yahaya; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin; dan Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.

Beliau sebelum itu turut melawat tiga buah rumah yang rosak teruk dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga terbabit.
Menurut salah seorang mangsa ribut, Encik Mohd Ridzuan Abdul Rahman, 44, kira-kira 90 peratus atap rumahnya telah rosak disebabkan ribut tersebut.
“Saya rasa seronoklah bila tahu hari ini Menteri Besar sendiri datang melawat penduduk di sini terutamanya mereka yang kena musibah ini,” katanya yang tinggal di rumah berkenaan bersama isteri dan dua anak.
Seorang lagi penerima, Encik Ahmad Radzali Mohd Hassan, 65, yang merupakan anak kepada penerokawati Puan Jaharah Abdulah, 84, berkata dia mengetahui rumah ibu ya menjadi mangsa ribut setelah dihubungi jirannya.
“Kebetulan masa ribut itu, mak duduk di rumah adik di Taman Tun Rashid dan rumah ini tak ada orang dan bila saya sampai kira-kira 7.30 malam, memang rumah ni dah habislah bumbung semua terbang habis dan kami rugi dalam RM5,000 lebih termasuk barang-barang rumah.
“Kami dapat bantuan daripada YB dan Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) dalam RM1,300, dan bila hari ini Menteri Besar datang melawat, kami rasa terharu dan gembira sangat dapat menolong kami di sini,” katanya.
Dalam kejadian ribut pada 10 Ogos lepas, antara kawasan yang turut terjejas adalah Kampung Ah Tong, Kampung Sungai Charu, Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Panching, Kampung Panching, dan Kampung Pasir Kemudi. – PAHANGMEDIA