Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato' Abd Rahim Muda.

SIDANG DEWAN NEGERI: KERAJAAN PAHANG CADANG NAIKTARAF LONGKANG DI KUANTAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 25 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang bercadang untuk menaiktaraf longkang sedia ada di Jalan Lim Hoe Lek di sini bagi mengelakkan kejadian banjir kilat berulang kembali.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata ini adalah satu cadangan jangka panjang.

“Hasil semakan dan penyelarasan bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) didapati longkang sedia ada di jalan tersebut tidak dapat menampung air apabila berlaku hujan lebat dan luar biasa.

“Jadi pihak Kerajaan Negeri telah membuat cadangan jangka panjang dengan mencadangkan Jalan Lim Hoe Lek tersebut dinaikkan parasan dan juga membesarkan longkang di sepanjang jalan yang terlibat.

“Anggaran kos awalan bagi projek ini dijangka dalam RM2.5 juta sehingga RM3 juta,” katanya ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Semambu, YB. Encik Lee Chean Chung semasa sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

ADN Semambu sebelum ini mengajukan pertanyaan mengenai apakah tindakan diambil Kerajaan Pahang dan tindakan bagi memastikan baniir kilat yang melanda bandar Kuantan sebelum ini tidak lagi berulang.

Beliau berkata, selain Jalan Lim Hoe Lek, Kerajaan Pahang juga mencadangkan kawasan tempat letak kereta di stadium dijadikan kolam penahan.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Pahang melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pahang juga telah meluluskan projek pembangunan menaiktaraf saliran Bukit Setongkol bernilai RM1 juta.

“Kita juga telah meluluskan projek pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 di Bukit Setongkol di mana projek ini dijangka akan bermula pada 2022,” katanya.

Selain itu, Kerajaan Pahang bersama JPS juga telah merancang dua projek untuk Sungai Kuantan melibatkan projek Pembangunan Lembagan Sungai Bersepadu Sungai Kuantan Fasa 1, 2, 3, dan 4 dalam Rancangan Malaysia Ke-11 bernilai RM11 juta.

“Bagi fasa 1, projek pembangunan lembangan bersepadu sungai Kuantan melibatkan kawasan di Sungai Belat yang sedang dilaksanakan sekarang dengan nilai RM112 juta.

“Bagi fasa 3, adalah projek tebatan banjir dengan membina ban pencegah banjir di Perkampungan Cenderawasih dan mempertingkatkan ban sedia ada di Kampung Sungai Isap serta kerja-kerja berkaitan, manakala fasa 4 pula melibatkan mendalamkan muara Sungai Kuantan.

“Bagi projek fasa 2,3 dan 4, ia masih dalam proses kerja-kerja reka bentuk terperinci dan Makmal Kejuruteraan Nilai (VE) telah pun dijalankan pada September 2020 di Kuala Lumpur dan ia dijangka akan ditender pada penghujung 2021,” katanya.

Beliau berkata, bagi tujuan mendalamkan Sungai Kuantan, Kerajaan Negeri telah membuat permohonan peruntukan sebanyak RM150 juta kepada Kerajaan Persekutuan dan kini masih menunggu kelulusan.

Beliau berkata buat masa kini, pihaknya telah mengarahkan pihak JKR untum menjalankan kerja pembersihan sistem saliran di lokasi berlaku banjir kilat tersebut. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download