Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman.

SIDANG DEWAN NEGERI: PPSAS DIJANGKA BEROPERASI AWAL TAHUN DEPAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 25 OGOS 2021 : Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) bernilai RM415.5 juta yang dijadualkan siap pada hujung tahun ini berkemungkinan ditangguhkan ke tahun hadapan berikutan pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, mengikut jadual bangunan PPSAS itu dijangka dapat diselesaikan pada 31 Disember ini.

“Kerja-kerja di tapak sebelum ini telah pun dihentikan sejak 5 Jun 2021 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Difahamkan berlaku masalah dari segi bekalan bahan binaan yang sebahagian besarnya daripada Lembah Klang yang merupakan kawasan berisiko tinggi pandemik ini,” katanya ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Teruntum, YB. Encik Sim Chon Siang semasa sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata urusan perpindahan Pejabat SUK Pahang akan dilaksanakan secara berperingkat dan tertakluk kepada tarikh penyiapan sebenar bangunan berkenaan.

Tambah beliau, penggunaan bangunan SUK Pahang yang ada kini akan diputuskan setelah perbincangan dijalankan.

“Bangunan SUK Pahang ini merupakan bangunan Kerajaan dan sebarang perancangan kegunaan selepas perpindahan ke bangunan baharu tersebut adalah tertakluk kepada keputusan yang akan ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri kelak,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download