Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 25 OGOS 2021 : Bekalan ikan di Pahang masih kekal stabil walaupun berlaku penutupan melibatkan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini bermula 23 Jun 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak berkata, kapasiti hasil tangkapan secara purata boleh direkodkan daripada 15 vesel sehari bermula Ogos 2021 dengan anggaran jumlah tangkapan 95 tan metrik sehari dengan purata 2,850 tan sebulan dan jumlah ini ialah 65 peratus daripada hasil tangkapan sebelum PKP bermula pada 2020.
“LKIM juga mempunyai tiga pasar nelayan di sekitar Kuantan iaitu Pasar Nelayan Balok, Pasar Nelayan Sepat dan Pasar Nelayan Kempadang dan ketiga-tiga pasar ini tidak mempunyai masalah bekalan kerana semua ikan segar adalah dari vesel nelayan setempat yang mendaratkan lebih kurang 4 tan metrik seminggu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Katanya lagi, pelbagai bantuan juga telah disalurkan kepada para petani dan nelayan termasuklah bantuan daripada LKIM Negeri Pahang secara one-off kepada golongan B40 kepada 100 penerima dengan jumlah keseluruhan RM100,000.
Bantuan terus dipertingkatkan pada 2021 kepada RM320,000 dengan jumlah penerima seramai 160 orang bagi menjayakan Projek Tanaman Kontan di Kuala Pahang, Pekan.
Selain itu, seramai 1,300 nelayan di negeri ini juga akan menikmati kenaikan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESH) daripada RM250 kepada RM300 bermula Januari 2021.
Kerajaan turut menyediakan insentif kepada golongan petani yang terkesan dengan pandemik COVID-19 menerusi program sedia ada dengan seramai 11,447 petani mendapat manfaat dairpada peruntukan sebanyak RM5.11 juta.
Bagi sektor Industri Asas Tani (IAT) pula terus berkembang dengan nilai pengeluaran RM75 juta setahun dalam tempoh 2020 dan sehingga Jun 2021, sebanyak RM30 juta produk IAT dapat dihasilkan di seluruh negeri.
Bagi sektor perikanan pula, sejumlah 203,000 benih ikan bernilai RM29,000 telah diberikan percuma kepada 149 penternak di negeri ini manakala sehingga Julai 2021 sejumlah 226,000 benih ikan bernilai RM53,000 juga diberikan kepada 97 penternak.
Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan LKIM juga memperuntukkan RM100,000 bagi meringankan beban nelayan pada thaun 2021.
Selain itu, banjir besar yang berlaku hingga mengakibatkan kerugian besar kepada penternak turut dibantu dengan anggaran sebanyak RM1,593,150.
Program peningkatan ilmu turut dianjurkan bagi meningkatkan pengetahuan penternak, usahawan industri hiliran dan pemilik haiwan dengan sebanyak 11 kursus dalam talian diadakan melibatkan 1,301 orang awam. – PAHANGMEDIA