Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 25 OGOS 2021 : Felda menyediakan bantuan khas sejak 2005 dengan dana berjumlah RM500,000 di bawah Bantuan Kebajikan Peneroka.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata bantuan ini bagi membantu peneroka yang menghadapi masalah sakit yang kronik.
“Bantuan ini telah diuruskan oleh Jabatan Pembangunan Komuniti sehingga kini dengan peruntukan Felda diantara RM1.5 juta sehingga RM4.5 juta berdasarkan anggaran tahunan.
“Tujuan utama bantuan kebajikan ini adalah untuk menampung kos perbelanjaan peneroka dan meringankan beban peneroka yang berhadapan dengan masalah yang ditetapkan dalam Garis Panduan Pelaksanaan Bantuan Kebajikan Peneroka.
“Di mana terdapat tiga kategori bantuan yang akan diberikan iaitu penyakit kronik, bencana alam, dan peralatan kesihatan,” katanya ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Encik Mohd Sharim Md Zain semasa sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi peneroka yang ingin mengemukakan permohonan berkaitan bantuan ini perlu melalui pejabat rancangan Felda.
“Permohonan bagi bantuan ini sangat mudah. Mereka perlu mengemukakan borang permohonan yang boleh didapati di laman web Felda, bawa ke pejabat rancangan dan dari situ, pejabat rancangan akan bawa ke Pejabat Wilayah bagi memproses permohonan,” katanya.
Tambah beliau lagi, kadar bantuan yang diberikan berdasarkan kedudukan kewangan sebelum ini tetapi ia kini telah ditetapkan.
“Bagi kes bencana alam, kadar maksima bantuan yang akan diberikan sebanyak RM10,000 dan sekiranya keperluan melebihi kad yang ditetapkan, permohonan akan disalurkan kepada Bahagian Infrastuktur, Jabatan Pembangunan Komuniti dan Generasi.
“Bagi kes penyakit kronik pula kadar maksima bantuan yang diberikan sebanyak RM10,000 namun bergantung kepada pengesahan doktor dan resit rasmi kos pembedahan dan rawatan daripada hospital pemohon mendapatkan rawatan.
“Dan bagi bantuan melibatkan peralatan kesihatan, kadar maksima yang diberikan adalah RM5,000. Bagi kes pembelian peralatan kesihatan ini pemohon boleh memohon surat jaminan daripada Felda dan membawanya kepada farmasi yang akan membekalkan peralatan dan bayaran dibuat setelah Felda menerima tuntutan bayaran daripada farmasi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata pihak Jabatan Pembangunan Komuniti dan Generasi mencadangkan semua peneroka yang berhasrat untuk memohon bantuan ini supaya merujuk kepada pihak pengurusan rancangan bagi mempercepatkan proses borang permohonan. – PAHANGMEDIA