YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI: KESTABILAN SOSIO-POLITIK DI PAHANG JAMIN KEMAJUAN BERTERUSAN

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 25 OGOS 2021 : Kestabilan politik di negeri ini memberi ruang dan peluang terbaik kepada Kerajaan Pahang untuk terus fokus kepada usaha memajukan negeri.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pentadbiran turut berlangsung seiring dengan slogan yang dibawa ‘Inilah Pahang’ atau This Is Pahang.

“Kita ada diplomasi kita tersendiri, dengan izin ‘The Pahang Diplomacy’ hingga menyebabkan keadaan sosio-politik sentiasa stabil bukan sahaja susulan kerjasama erat Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO dengan PAS dalam Muafakat Nasional malah hubungan harmoni dengan sembilan Ahli Yang Berhormat pembangkang.

“Dari segi kesepakatan UMNO dan Pas, saya simpulkan bahawa Muafakat Nasional is our way forward dan akan teruskan kerjasama baik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini hari ini.

Sementara itu, Dato’ Sri Wan Rosdy menjawab pertanyaan ADN Semambu dan ADN Ketari yang membangkitkan mengenai perlombongan nadir bumi dalam Hutan Simpanan Kekal Hulu Jelai.

“Dakwaan kononnya kawasan seluas 660 hektar akan dinyahwartakan atau digazet sedangkan ia sama sekali tidak benar. Sebenarnya permohonan untuk perlombongan di situ belum didaftarkan sebagai pajakan melombong oleh itu soal penyawartaan tidak timbul.

“Pihak berkenaan perlu mempunyai kelulusan penilaian kesan alam sekitar daripada Jabatan Alam Sekitar serta sijil skim pengendalian melombong yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains,” katanya.

Menurutnya lagi, sehingga kini belum ada lagi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi kerja-kerja perlombongan dan masih dalam peringkat cadangan, penggubalan seperti mana yang telah dimaklumkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli pada Majlis Mineral Negara pada 16 Febuari lalu.

Dalam pada itu, beliau menyentuh berkenaan peluang pekerjaan bagi anak –anak tempatan mengisi kekosongan di kilang-kilang milik pelabur asing terutamanya di kawasan perindustrian Gebeng yang dibangkitkan oleh ADN Baserah.

“Memang usaha telah diambil agar tidak berlaku mismatch antara keperluan pekerja mahir dan separa mahir oleh pihak kilang, dengan tawaran tenaga kerja oleh institusi-institusi pendidikan serta kemahiran kita.

“PKNP pula selaku One Stop Agency (OSA) bagi sektor pekilangan di negeri ini sentiasa membantu secara berterusan bagi memudahcara pelabur mendapatkan pekerja bagi operasi kilang mereka.

“Hubungan baik PKNP dengan institusi-institusi kemahiran seperti Pahang Skills, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Mara (IKM), Politeknik Sultan Hj Ahmad Shah, Kolej Komuniti dan Pusat Giat Mara diharap dapat membantu pemain industri bagi mendapatkan tenaga kerja mahir dan separa mahir untuk kilang-kilang mereka,” katanya.

Tambahnya, sebelum wabak pandemik COVID-19 tercetus beliau telah berpeluang mengetuai beberapa misi menarik pelaburan di luar negara seperti Belanda, Belgium, Singapura, Thailand dan Republik Rakyat China.

“Antara daya tarikan yang dipromosi dan diuar-uarkan ialah tentang kesedian memperolehi khidmat tenaga kerja mahir dan separa mahir anak-anak tempatan ini, maka inilah juga sepatutnya menjadi realiti setelah pelabur-pelabur asing benar-benar melabur dan mendirikan kilang mereka di negeri ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download