Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

SIDANG DEWAN NEGERI: LIPUTAN 4G DI PAHANG MENINGKAT KEPADA 90.25 PERATUS

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 25 OGOS 2021 : Liputan 4G di negeri Pahang telah mencatatkan peningkatan kepada 90.25 peratus pada suku kedua tahun ini dalam pembangunan infrastruktur digital berbanding 89.30 peratus pada suku keempat 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata Kerajaan Pahang menjangkakan peratusan liputan akan terus meningkat kepada 96.90 peratus menjelang penghujung 2022.

“Kerajaan Pahang memberikan fokus utama untuk memperluaskan liputan 4G di negeri ini dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Buat masa ini, rangkaian 4G yang telah dan sedang disediakan adalah memadai untuk keperluan menggunakan pelbagai aplikasi video dalam mendepani norma-norma baharu pada hari ini,” katanya ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, YB. Dato’ Khairuddin Mahmud pada sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

ADN Pulau Manis mengajukan persoalan mengenai pelaksanaan teknologi 5G di Pahang dan adakah tempat sub-urban disediakan teknologi tanpa wayar

Beliau berkata pembangunan infrastruktur digital oleh Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 mensasarkan beberapa perkara di Negeri Pahang.

“Pertama membina sebanyak 270 tapak baharu dengan teknologi 4G, menaiktaraf 1,666 stesen pemancar sedia ada kepada teknologi 4G untuk meluaskan liputan 4G dan meningkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih.

“Kemudian menyediakan akses gentian optik kepada 118,260 premis, dan peluasan capaian jalur lebar di 69 Kampung Orang Asli menerusi teknologi satelit yang dijangka siap pada Oktober 2021,” katanya.

Menurut beliau lagi, selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Pahang memperakui komunikasi sebagai utiliti awam ketiga selepas bekalan air dan elektrik.

Tambah beliau lagi, sebanyak empat menara baharu akan dibina di Dewan Negeri (DN) Pulau Manis dan sebuah menara 4G.

“Di bawah pelaksanaan JENDELA, DN Pulau Manis tidak terkecuali di mana sebuah menara 4G di Kampung Langgar yang telah pun siap dan mula beroperasi pada Mei 2021 yang lalu.

“Selain daripada itu, sebanyak empat menara baharu lagi akan dibina iaitu di Kampung Mencupu, Kampung Pelak, Kampung Permatang Jambu Air dan Kampung Pulau Rusa.

“Manakala usaha naiktaraf stesen pemancar ke rangkaian 4G juga akan dijalankan di DN Pulau Manis di mana sebanyak 36 stesen pemancar telah pun dikenalpasti untuk dinaiktaraf,” katanya.

Menurut beliau lagi, lebih 1,000 premis di DN Pulau Manis telah disediakan dengan capaian gentian optik berkelajuan Gigabit dan 800 premis lagi akan disiapkan secara berperingkat menjelang 2022.

“Dua menara baharu akan dibina di Kampung Jaya Gading dan Kampung Pulau Manis, Gambang dan akan bermula dalam masa terdekat dan dijangka selesai pada pertengahan 2022.

“Sebanyak 176 port unifi telah dilaksanakan pada suku pertama 2021, 152 port lagi pada suku ketiga dan 104 port pada suku keempat. Manakala 64 port lagi akan dilancarkan pada suku pertama 2022,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download