COVID-19: JKNP KESAN 10 KES JANGKITAN VARIAN DELTA

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 18 JULAI 2021 : Pahang mengesan 10 kes disahkan positif COVID-19 adalah jangkitan daripada varian baharu yang membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta B.1.617 berdasarkan sampel yang diuji setakat semalam.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) berkata ujian ini berdasarkan 12 sampel genomik yang dihantar.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah.

“Sehingga 17 Julai, sebanyak 12 sampel genomik yang dihantar dikesan sebagai VOC di negeri Pahang di mana 10 sampel adalah varian Delta dan baki dua sampel lagi adalah varian Beta.

“Untuk makluman, kita menghantar sampel bagi tujuan pengesanan ini adalah secara rawak. Dimana bukan semua sampel yang kita telah ambil akan diuji berdasarkan beberapa kekangan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya mengesan satu kluster di Kuantan adalah jangkitan daripada varian Beta B.1.351.

“Kesemua kluster yang berlaku di daerah Kuantan telah dihantar untuk ujian jujukan Genom tetapi keputusannya masih belum diketahui,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan kepada peningkatan kes yang meningkat di Kuantan, berkemungkinan jangkitan VOC telah pun menular dalam masyarakat.

“Melihat kepada peningkatan kes di Kuantan di mana sebaran berlaku sangat cepat dan meluas dengan peningkatan kadar kematian, dijangkakan VOC telah menular di dalam masyarakat.

“Jabatan Kesihatan Negeri Pahang menyeru semua rakyat di negeri Pahang supaya mematuhi SOP yang ditetapkan. Keluar hanya jika perlu. Elakkan daripada mengunjungi tempat yang sesak. Pastikan pemakaian double mask jika terpaksa mengunjungi tempat yang sesak bagi mengurangkan risiko dijangkiti COVID-19 terutamanya oleh varian Delta,” katanya.

Beliau berkata, VOC (Variant of Concern) atau varian yang membimbangkan ialah varian virus COVID-19 yang boleh menyebabkan penularan jangkitan dengan pantas.

“Ia juga menyebabkan jangkitan dengan gejala dan komplikasi yang teruk serta menyebabkan peningkatan kadar kematian akibat COVID-19.

“Varian Delta yang digelar super strain adalah 2.5 kali lebih tinggi kadar keberjangkitannya dimana ia didapati boleh tersebar melalui udara (air borne) dalam tempoh 15 saat walaupun tanpa sentuhan jika berada dalam ruang yang sempit.

“Manakala bagi varian Beta kadar keberjangkitannya adalah 1.5 kali lebih tinggi,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download