Oleh: Shazli Sufi Che Unik
KUANTAN, 18 JULAI 2021: Sebanyak 54 buah masjid tersenarai dibawah program Dapur Zakat yang dianjurkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang serta Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang.
Program Dapur Zakat ini merupakan program kebajikan dibawah peruntukan asnaf, fakir miskin dan mereka yang kurang berkemampuan.
Perlaksaaan Dapur Zakat dimasjid-masjid adalah bertujuan memudahkan ahli kariah yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan barangan keperluan di masjid yang berhampiran.
Menurut Kadi Daerah Kuantan, Ustaz Mohd Rizzal Mohd Ali Nafiah, pihak masjid boleh membuat permohonan kepada MUIP di setiap daerah untuk mewujudkan dan merancakkan program agihan bantuan ini.
“Kadi sebagai pengerusi bersama dengan pengurus MUIP cawangan dan pengurus pusat zakat sebagai tiga agensi utama akan terus menyelaras dan mengerakan masjid-masjid yang berada dibawah pentadbiran daerah untuk mewujudkan program ini,” katanya di sini.
Beliau berharap program ini dapat diteruskan di lebih 600 buah masjid sekitar Pahang agar bantuan dapat disalurkan sebaik mungkin dan tiada lagi keluarga yang terputus bekalan makanan sehingga perlu mengangkat bendera putih.
Diharapkan juga pihak masjid akan terus mendapatkan infomasi mengenai keluarga termasuk dalam asnaf yang memerluakan bantuan agar bantuan dapat disalurkan dengan mudah dan segera. – PAHANGMEDIA