Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 14 JULAI 2021 : Kebanyakan masyarakat Orang Asli lebih berdisiplin dalam mematuhi arahan sepanjang melalui perintah kuarantin kendiri bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 kepada penduduk kampung lain.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri Lanchang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, rata-rata penduduk Orang Asli ini begitu menjaga sesama mereka dan merasa bertanggungjawab terhadap penduduk lain.
“Saya tengok Orang Asli ini lebih berdisiplin kerana kelima-lima keluarga ini mereka tinggal di satu tempat dan tidak dibenarkan sesiapa masuk melainkan telah mendapat kebenaran daripada tok batin sahaja.
“Pagar turut dipasang di kawasan kuarantin berkenaan bagi memastikan tiada sesiapa dibenarkan masuk melainkan dengan kebenaran daripada tok batin sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat dan menyampaikan bantuan kepada lima keluarga di perkampungan Orang Asli di Kampung Sungai Leleh yang diperintah kuarantin.
Sebelum itu, beliau turut menyampaikan sumbangan bakul makanan ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Balairaya Kampung Bukit Kauk bagi melihat sendiri seramai 80 masyarakat Orang Asli dari Kampung Bukit Ngeri menerima suntikan vaksin masing-masing.
Beliau berkata, sehingga kini, kesemua penduduk yang layak menerima vaksin daripada Kampung Bukit Ngeri telah menerima suntikan vaksin manakala sebanyak 50 peratus penduduk dari Kampung Sungai Leleh juga telah disuntik.
Berdasarkan maklumat daripada Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang, Encik Johari Alwi, Kampung Bukit Ngeri mempunyai seramai 101 penduduk manakala Kampung Sungai Leleh mempunyai 202 penduduk, namun bukan kesemua mereka layak divaksin kerana hanya penduduk berusia 18 tahun ke atas boleh menerima suntikan terbabit. – PAHANGMEDIA