Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 14 JULAI 2021: Beberapa kluster aktif di Pahang termasuk keputusan ujian COVID-19 yang masih belum diterima (pending result) menjadi antara punca utama angka kes positif COVID-19 di negeri ini terus meningkat.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, Encik Zairasyahli Syah Zakaria berkata, antara punca yang semua sedia maklum ialah kluster Pasar Kemunting masih aktif dikesan selain kluster yang melibatkan pekerja-pekerja di asrama seperti di Flat Benus, Bentong.
“Kluster Rantau Kenanga juga menjadi punca utama yang menyumbang angka peningkatan malah ia merupakan jangkitan daripada varian baharu yang membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta B.1.617 yang pertama kali dikesan di India yang dikenali sebagai Super Strain.
“Saya juga melihat punca jangkitan ini berlaku melalui pergerakan rentas negeri dan daerah termasuk aktiviti ziarah kematian, pengebumian dan sebagainya yang mengalakkan lagi jangkitan berlaku di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan terutamanya apabila dekat dengan musim perayaan.

“Kita lihat PKPD yang dilaksanakan di kawasan mukim Kuala Kuantan tidak begitu berkesan dan masih banyak pergerakan berlaku.
“Kita tidak mahu ada kluster raya haji pula nanti jika rakyat bebas bergerak tanpa mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.
Dalam hal ini katanya, tindakan tegas perlu diambil ke atas mereka yang ingkar SOP bagi mengelak kes terus menular dalam komuniti.
“Penularan boleh dikawal jika kita tidak hanya memakai pelitup muka dan hand sanitizer tetapi juga menjaga penjarakan dengan baik ketika berada di tempat awam.
“Contohnya, jika kita sedang beratur membeli makanan di kedai, pastikan jarak kita dengan orang yang berada di hadapan dan belakang mengikut SOP,” katanya.
Katanya lagi, jika semua orang menjaga SOP maka penularan boleh dikekang dengan sebaiknya dan kes di negeri ini boleh di turunkan seterusnya ke angka sifar. – PAHANGMEDIA