KUANTAN, 14 JULAI 2021: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) tidak membenarkan pekebun haram memasuki Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam untuk mengambil barangan mereka.
JPNP menerusi kenyataan media hari ini menyatakan, larangan itu diambil setelah mendapat nasihat serta pandangan daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang dan juga Timbalan Pendakwa Raya.
Kenyataan itu menjelaskan, sekiranya pekebun haram itu dibenarkan masuk ke HSK Batu Talam, ia boleh mengganggu siasatan yang kini sedang giat dilengkapkan sepenuhnya untuk tujuan pendakwaan.

“JPNP telah meneliti laporan media mengenai permohonan yang disampaikan kepada YAB Menteri Besar Pahang berkaitan hasrat pekebun yang ingin memasuki ke kawasan operasi bagi tujuan mendapatkan semula barang milik mereka yang tertinggal didalam kawasan HSK Batu Talam.
“Bagaimanapun setelah mendapat nasihat serta pandangan dari Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang dan juga Timbalan Pendakwa Raya, JPNP tidak membenarkan pekebun untuk memasuki kawasan itu kerana tindakan ini boleh mengganggu siasatan yang sedang giat dilengkapkan sepenuhnya untuk tujuan pendakwaan,’ kata kenyataan tersebut.

Terdahulu, Setiausaha Agung MCA, Dato’ Chong Sin Woon meminta kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail agar pekebun-pekebun haram terbabit dibenarkan memasuki kawasan operasi untuk mendapatkan semula barangan milik mereka yang tertinggal di dalamnya.
Bagaimanapun Dato’ Sri Haji Wan Rosdy telah meminta Dato’ Chong Sin Woon mendapatkan sendiri kebenaran untuk pekebun terbabit berbuat demikian daripada Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.-PAHANGMEDIA
Berita berkaitan: https://pahangmedia.my/kerajaan-pahang-tetap-konsisten-ketegasan-terhadap-pencerobohan-tanah-secara-haram/