Sebuah syarikat perkayuan di Lipis bakal dikompaun kerana melanggar Akta 446 iaitu kegagalan mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

SYARIKAT PERKAYUAN DI LIPIS LANGGAR AKTA 446

Oleh : Shazli Sufi Che Unik

KUANTAN, 23 JUN 2021: Sebuah syarikat perkayuan di Lipis bakal dikompaun kerana melanggar Akta 446 iaitu kegagalan mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Timbalan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Pahang, Encik Abdul Kadir bin Muhamad berkata kertas siasatan dibuka dibawah Seksyen 24D Akta 446 yang boleh dikenakan kompaun jika disabit kesalahan.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, syarikat tersebut boleh dikenakan kompaun maksimum RM20,000 dan jika didakwa di mahkamah di bawah ordinan darurat boleh disaman maksimum RM200,000,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Beliau berkata, syarikat tersebut didapati melanggar Akta 446 kerana gagal mengemukakan perakuan penginapan dan didapati telah membuat penginapan pekerja terlebih dahulu tanpa akuan daripada pihak JTK.

“Selain itu sebuah syarikat lain turut dipanggil ke Pejabat Tenaga Kerja Raub mengunakan borang F kerana didapati turut melanggar Akta 446 sewaktu pemantauan perlaksanaan operasi kilang sepanjang PKP dan PKPD di daerah Kuala Lipis hari ini,” katanya.

Beliau berkata, operasi ini dilakukan susulan daripada kes jangkitan COVID-19 yang melibatkan kluster syarikat pembinaan di daerah tersebut.

Jelas beliau lagi, operasi ini diketuai oleh Majlis Daerah Lipis dengan kerjasama daripada JTK dan Pejabat Kesihatan Daerah Lipis. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download