YAB Menteri Besar Pahang, Dato Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohd Fakharuddin Mohd Ariff bersama pihak MCMC dan Ahli Dewan Negeri di Pahang ketika taklimat Pelan JENDELA Pahang yang diadakan di Cameron Highlands, Disember tahun lalu.

KOMITMEN KERAJAAN PAHANG TINGKAT CAPAIAN INTERNET SELURUH NEGERI

KUANTAN, 23 JUN 2021: Kerajaan Pahang sejak 2018 telah berusaha untuk meningkatkan capaian internet di seluruh negeri ini terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail Berkata, antara 2018 dan hujung tahun 2020 banyak yang telah diusaha dan dilaksanakan termasuklah dengan pembinaan 153 menara telekomunikasi baharu di kawasan-kawasan luar bandar di kesemua 11 daerah.

Beliau berkata, kerjasama Kerajaan Pahang menerusi Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohd Fakharuddin Mohd Ariff dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mampu membangunankan infrastruktur komunikasi yang diperlukan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohd Fakharuddin Mohd Ariff bersama pelajar Tingkatan 5 yang memperoleh sumbangan insentif RM50 Kerajaan Pahang bagi membantu proses pembelajaran secara online pada satu program yang diadakan pada Disember tahun lalu.

Menurut beliau, ini termasuk sembilan menara baharu dibina di sepanjang laluan dari Rancangan Tanah Felda Sungai Koyan, Lipis ke Lembah Bertam, Cameron Highlands yang siap sepenuhnya dan beroperasi pada awal tahun 2020 yang memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya termasuk sebahagian besar masyarakat Orang Asli yang mendiami kawasan tersebut.

“Usaha seterusnya ialah menaik taraf liputan selular kepada 4G bagi membolehkan rakyat luar bandar menikmati kualiti perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar lebih baik semasa melayari Internet daripada telefon bimbit masing-masing.

“Sehingga kini, 571 stesen pemancar (base transmission station) di menara-menara telekomunikasi sedia ada, telah dinaik taraf kepada 4G,” katanya menerusi kenyataan kepada Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam pada itu beliau menjelaskan Kerajaan Pahang menyokong pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA yang diperkenalkan oleh MCMC sebagai penyediaan infrastruktur digital menyeluruh di seluruh negara dan bagi memacu perubahan ke arah pendigitalan negara.

Beliau berkata, Pelan JENDELA Pahang terbahagi kepada tiga projek utama iaitu pembinaan 269 menara baharu di kawasan luar bandar yang tiada liputan 4G atau mempunyai capaian terhad; menaik taraf liputan selular kepada 4G melibatkan 1,673 stesen pemancar; dan menaik taraf perkhidmatan jalur lebar talian tetap di 118,260 premis.

Menurut beliau, projek-projek ini telah pun bermula sejak suku ketiga tahun 2020 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun depan (2022) melibatkan peruntukan kira-kira RM1.78 billion.

“Dengan sempurnanya projek-projek ini, kadar liputan mudah alih 4G dijangka dapat ditingkatkan sehingga 96.9 peratus, manakala kelajuan jalur lebar mudah alih ditingkatkan pada kelajuan minimum 35Mbps, dan kadar penembusan jalur lebar tetap meningkat sehingga 78.86 peratus,” katanya.

Beliau juga menyatakan sejak penularan wabak pandemik COVID-19 keperluan untuk melaksanakan amalan norma baharu seperti Bekerja Dari Rumah (BDR) serta Pengajaran Dan Pembelajaran Dari Rumah (PDPR) semestinya berkehendakkan capaian internet yang baik.

“Menerusi Pelan JENDELA ini saya yakin, kadar jaringan telekomunikasi di Pahang akan dapat ditingkatkan dan rakyat akan dapat menikmati kemudahan digital ini dengan lebih baik,” katanya.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download