Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 23 JUN 2021: Kerajaan Pahang sentiasa bersiap sedia untuk mengadakan Persidangan Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 pada bila-bila masa sahaja.
Yang Dipertua Dewan Negeri, YB. Dato’ Sri Hj Ishak Muhamad berkata, namun demikian ia tertakluk kepada perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Seperti mana kenyataan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini, kita, Kerajaan Pahang sentiasa bersiap sedia untuk mengadakan Persidangan Dewan Negeri.
“Namun ia tertakluk kepada perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terutamanya dalam menentukan tarikh persidangan.
“Bila pun tarikh yang diperkenan KDYMM Pemangku Raja Pahang, kita telah bersedia dan sentiasa bersedia,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).
Beliau berkata, pihaknya juga telah menghantar surat kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) bagi mereka mengemukakan usul persidangan sebelum 30 Jun ini.
“Ini sekiranya KDYMM Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah telah memperkenankan tarikh, dan kita telah pun bersedia untuk mengadakan persidangan,” katanya.
Sebelum ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen dijalankan secepat mungkin bagi membolehkan Kerajaan membentangkan Pelan Pemulihan Negara dan Ahli Dewan Rakyat membahaska. pelaksanaan Ordinan Darurat 2021.
YAB Menteri Besar Pahang sebelum ini turut menyatakan walaupun Persidangan Dewan Negeri ini penting dalam memelihara aspek ‘Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen’, namun tidak boleh menyimpang keutamaan pada masa ini iaitu menangani dan mengatasi penularan pandemik COVID-19 dalam negeri dan negara. – PAHANGMEDIA