Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato' Sri Abd Jalil Hassan.

PASUKAN KOMUNITI PRIHATIN BANTU PIHAK BERKUASA DI KAWASAN PKPD

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 16 JUN 2021 : Kerajaan Pahang telah menubuhkan Pasukan Komuniti Prihatin (PKP) sebagai projek rintis bagi membantu pihak berkuasa di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, pasukan ini ditubuhkan di kawasan PKPD di Seri Damai dan Jaya Gading baru-baru ini.

“Kita telah menubuhkan satu Pasukan Komuniti Prihatin (PKP) yang mana kita adakan di kawasan PKPD Seri Damai dan Jaya Gading bertujuan pasukan ini membantu pasukan keselamatan di PKOB (Pusat Kawalan Operasi Bencana) bagi melicinkan perjalanan pengurusan serta pengawasan sepanjang PKPD.

“Pasukan Komuniti Prihatin ini diketuai oleh masyarakat setempat itu sendiri, di taman untuk menjaga taman-taman mereka dan diselia dan diberi kerjasama dengan pasukan keselamatan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini penubuhan Pasukan Komuniti Prihatin ini dilihat amat berkesan dalam memastikan masyarkat setempat mematuhi arahan yang diberikan.

“Jadi di kawasan Seri Damai dan Jaya Gading ini amat-amat berkesan sebab mereka sendiri tahu masyarakat yang tinggal di situ dan mereka sendiri tahu untuk menasihatkan masyarakat di situ bagaimana,” katanya.

Menurut beliau lagi, projek rintis ini juga akan diperluaskan di semua daerah di negeri ini pada masa hadapan.

Sementara itu, katanya, kira-kira 12,000 pekerja asing yang bekerja di kebun sekitar kawasan PKPD di Cameron Highlands tidak dibenarkan bekerja dalam tempoh pelaksanaan ini.

“Ini Melibatkan lokaliti Kampung Raja iaitu Sungai Ikan, Blue Valley, Taman Matahari Cerah, Taman Desa Corina dan Kampung Baru, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Cameron Highlands ini dijangkakan harga sayuran di pasaran memang akan mengalami peningkatan disebabkan penawaran kurang, tidak dibenarkan ada apa-apa pergerakan atau aktiviti di kawasan-kawasan yang biasa ada penanaman sayur.

“Pengeluaran sayur-sayuran terpaksa dihentikan serta merta dan ini akan menyebabkan bekalan sayur-sayuran akan terjejas.

“Baki bekalan sayur-sayuran sedia ada pasti akan ditawarkan dengan harga yang tinggi memandangkan produk sayur ini bukan sahaja untuk pasaran tempatan malah untuk dihantar ke luar negara seperti di Singapura,” katanya.

Beliau turut mengingatkan para pengusaha kebun sayuran di Cameron Highlands supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) setelah dibenarkan beroperasi semula. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download