Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 16 JUN 2021: Keputusan pantas oleh YAB Menteri Besar Pahang untuk mengawal penduduk yang positif COVID-19 dan dikenakan tindakan kuarantin antara faktor penurunan kes di negeri ini.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah berkata, terdapat beberapa faktor yang memainkan peranan penting dalam menurunkan jumlah kes positif COVID-19 di Pahang.
“Bagi saya tindakan yang cepat adalah antara faktornya. Ini melibatkan keputusan kawalan yang cepat oleh YAB Menteri Besar Pahang sendiri dalam mengawal penularan COVID-19.

“Selain itu, tindakan cepat untuk mengenal populasi yang terlibat dan menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tersebut yang melibatkan pelbagai agensi Kerajaan juga memainkan peranan,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Tambah beliau lagi, keputusan Kerajaan Negeri untuk membawa keluar kes positif COVID-19 ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) juga membantu mengurangkan jumlah jangkitan.
“Selain itu, tindakan tegas dan berhemah oleh anggota penguatkuasa di sekatan jalan raya (SJR) yang dijalankan juga menjadi penyumbang penurunan kes di negeri ini.
“Ia juga melibatkan kerjasama dan pematuhan penduduk itu sendiri terutamanya yang menjalani PKPD dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Bantuan ziarah prihatin juga dilihat dapat meringankan beban kepada mereka yang dikenakan perintah kuarantin di rumah (HSO) dan dengan adanya bantuan sebegini orang ramai tidak risau dan patuh menjalani HSO,” katanya.
Namun menurut beliau, walaupun jumlah kes positif COVID-19 menunjukkan tren penurunan kebelakangan ini, namun masih belum lagi menang.
“Kita belum menang lagi. Tetapi saya yakin dengan usaha-usaha dan komitmen yang tinggi, kita akan menang. Jadi jangan merisikokan diri dan keluarga dengan jangkitan COVID-19 ini.
“Segera ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk ujian saringan pengesanan COVID-19 jika bergejala. Patuhi SOP yang ditetapkan dan duduk di rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan dan melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19,” katanya. – PAHANGMEDIA