Oleh: Shazli Sufi Che Unik
KUANTAN, 16 JUN 2021 : Langkah Kerajaan Pahang yang akan bertindak segera atas titah saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan peluasan Hutan Simpanan Kekal Chini disambut baik oleh beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Timbalan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Encik Nor Aliff Haji Yaakob berkata, pihaknya menyambut baik usaha berkenaan kerana ia satu usaha yang baik untuk memastikan khazanah semulajadi tersebut terus terpelihara.
“Tasik Chini bukan sahaja sebagai khazanah semulajadi tetapi ia juga sebagai tempat bersejarah di Negeri Pahang yang wajar dipelihara dan dipulihara.

“MBNP sangat bersetuju dengan saranan tersebut dan bersedia untuk berkerjasama bagi membaik pulih kawasan sekitar sekiranya diperlukan,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga mengharapkan usaha ini dapat dilaksanakan sebaiknya dan menjadi titik permulaan kepada pemuliharaan ekosistem serta khazanah semulajadi tersebut.
Sementara itu, Pengerusi GERAM, Encik Ali Akbar Othman menyahut baik langkah Kerajaan Pahang itu kerana Tasik Chini perlu dipulihara dan dipelihara kerana ia khazanah semulajadi yang diiktiraf oleh UNISCO.
Beliau juga menyatakan kesediaan untuk turut sama dengan Kerajaan Negeri bagi membantu memulihara khazanah semulajadi tersebut.
Semalam YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang menjunjung kasih dan menjunjung titah atas titah saranan Baginda mengenai pelbagai perkara berkenaan pemuliharaan Tasik Chini.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy juga berkata, peluasan itu wajar yang dapat menambahkan lagi liputan kawasan hutan demi menjagai dan memelihara serta memulihara mutu alam sekitar Tasik Chini yang mana luas badan airnya (water body) sahaja ialah antara 200 hektar dan 700 hektar menurut musim.- PAHANGMEDIA