Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 02 JUN 2021: Pematuhan hari pertama sekatan pergerakan penuh (total lockdown) di Negeri Pahang masih belum memuaskan kerana berada pada tahap 97 peratus.
Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, ini adalah hasil daripada peratusan melibatkan 11 daerah yang ada di negeri ini setakat hari pertama pelaksanaan.
“Kadar pematuhan bagi negeri Pahang belum mencapai tahap 100 peratus, jadi kita tidak boleh lagi merasa berpuas hati jika kita berperang untuk menurunkan jumlah indeks.
“Peratusan kadar pematuhan bagi daerah Kuantan adalah sebanyak 96 peratus sama seperti peratusan bagi daerah Temerloh iaitu paling rendah.
“Empat lagi daerah merekodkan peratusan 97 peratus iaitu Rompin, Maran, Bentong, dan Cameron Highlands. Baki lima daerah lagi iaitu Pekan, Bera, Jerantut, Raub, dan Lipis pula merekodkan pematuhan pada kadar 98 peratus,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 15 kompaun juga telah dikeluarkan setakat semalam melibatkan dua daerah iaitu Bentong dan Temerloh.
“Kita telah mengeluarkan 13 kompaun bagi daerah Bentong dan dua kompaun lagi dikeluarkan di daerah Temerloh.
“Ini melibatkan empat kesalahan gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri pelanggan, tiada penjarakan fizikal (empat kompaun), tidak memakai pelitup muka (empat kompaun), dan rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (tiga kompaun),” katanya.
Tambah beliau lagi, sebanyak 1,778 permohonan kebenaran rentas daerah dan negeri telah diterima setakat hari pertama pelaksanaan PKP di negeri ini.
“Daripada jumlah ini 792 permohonan telah ditolak dan bakinya yang diluluskan melibatkan 725 permohonan lain-lain hal, kecemasan (224), dan ziarah kematian (37).
“Sebanyak 19,220 kenderaan telah diperiksa di 47 sekatan jalan raya di seluruh negeri ini dengan 91 daripadanya telah diarahkan untuk berpatah balik,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk menghayati dan patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan.
“Amat penting untuk kita, orang dewasa untuk jadi contoh terbaik kepada anak-anak dan jiran-jiran untuk sama-sama mematuhi SOP yang ada bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 ini,” katanya. -PAHANGMEDIA