COVID-19: 499,040 INDIVIDU DI PAHANG DAFTAR AMBIL VAKSIN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 03 JUN 2021: Sebanyak 41.9 peratus atau 499,040 individu daripada keseluruhan penduduk berusia 18 tahun di negeri ini telah membuat pendaftaran bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah berkata, sasaran pihaknya yang akan menerima vaksin di negeri ini ialah seramai 1,231,800 orang.

“Peratus pendaftaran vaksin COVID-19 di negeri ini masih rendah iaitu 41.9 peratus atau 499,040 individu berbanding keseluruhan penduduk berumur 18 tahun ke atas di negeri Pahang iaitu seramai 1,231,800 orang,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah

Dalam pada itu beliau berkata, seramai 100,568 penerima atau 25 peratus daripada jumlah individu yang mendaftar telah menerima suntikan vaksinasi COVID-19 di negeri ini sehingga 31 Mei lalu.

“JKNP telah menggunakan 96.5 peratus vaksin yang dibekalkan bagi tujuan ini. Selain itu, peratus ketidakhadiran penerima vaksin di negeri ini bagi penerima Fasa 2 juga telah menunjukkan penurunan setakat ini berbanding pada peringkat permulaan yang bermula 19 April lepas,” jelasnya.

Katanya, pada permulaan Fasa dua, peratus ketidakhadiran adalah tinggi dengan purata 38 peratus.

“Bagaimanapun, antara sebab yang mungkin menyebabkan peratus ketidakhadiran yang tinggi adalah masa suntikan yang tidak sesuai iaitu pada bulan Ramadan dan awal Syawal.

“Akan tetapi, peratus ketidakhadiran telah menurun dengan purata 22.5 peratus. Bermula 26 Mei, peratus ketidakhadiran yang paling tinggi adalah 16 peratus,” katanya.

Beliau berkata, bagi individu yang tidak hadir ke pusat pemberian vaksin pada hari temujanji yang diberikan, pasukan kesihatan telah memberikan suntikan kepada pengganti yang telah dikenalpasti.

Menurut beliau lagi, JKNP turut menyeru rakyat di negeri ini supaya mendaftar bagi menjadi penerima vaksin dalam kadar segera bagi memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19.

“Setiap ketua keluarga dan ketua komuniti perlu memastikan semua individu yang layak mendaftar untuk menerima suntikan vaksin di pautan www.vaksincovid.gov.my atau aplikasi MySejahtera.

“Marilah kita sama-sama berganding bahu memutuskan rantaian COVID-19 serta menjadikan COVID-19 bukan lagi ancaman bagi Negeri Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds