PKPD TIGA MUKIM DI LIPIS: KADAR JANGKITAN COVID-19 SEMAKIN TERKAWAL
Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 2 JUN 2021 : Kadar jangkitan COVID-19 di tiga mukim di Daerah Lipis iaitu Mukim Kuala Lipis, Mukim Penjom dan Mukim Budu semakin terkawal selepas lapan hari dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 26 Mei lalu.
Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim berkata, pihaknya hanya dapat menjalankan analisis terhadap perkembangan kes jangkitan COVID-19 di tiga mukim terbabit selepas PKPD ditamatkan seperti dijadualkan.
“Buat masa ini kami hanya dapat menyimpulkan bahawa kadar jangkitan di tiga mukim berkenaan adalah terkawal walaupun masih ada turun naik dalam kes jangkitan setiap hari,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim
Beliau berkata, kadar pematuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) PKPD juga adalah baik walaupun terdapat segelintir penduduk yang ingkar terhadap arahan tersebut.
“Ada di kalangan penduduk yang menaiki kenderaan lebih daripada seorang dan ada juga yang keluar tanpa urusan dan tujuan yang jelas dan kesemua mereka telah dikenakan tindakan kompaun,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya telah melakukan sembilan sekatan jalan raya di tiga mukim terbabit dengan penglibatan yang baik daripada semua agensi termasuklah Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
“Bagi lokasi taman perumahan dan kampung yang dikenakan PKPD dengan kawalan yang lebih ketat, kesemua penduduk telah menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) daripada Kerajaan Pahang berupa barangan keperluan makanan,” katanya.
Beliau berharap semua penduduk terlibat dapat patuh kepada SOP supaya PKPD ini dapat ditamatkan mengikut jadual dan penduduk dapat menjalani SOP yang sedikit longgar berbanding ketika ini.
“Usaha menghentkan pandemik COVID-19 ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuklah orang ramai jadi patuhlah kepada arahan untuk kekal di rumah kecuali jika terdapat hal kecemasan atau ingin mendapatkan barangan keperluan sahaja,” katanya. – PAHANGMEDIA