UNDANG-UNDANG KHAS ATASI ISU DERHAKA TERHADAP INSTITUSI DIRAJA
Oleh: Fansurina Abdullah
KUANTAN, 31 MEI 2021: Malaysia seharusnya mempunyai undang-undang khusus untuk menangani isu penderhakaan terhadap Institusi Raja sebagaimana Negara Thailand yang mempunyai undang-undang Leste Majeste.
Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Negeri Pahang, Encik Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, Malaysia perlu menggubal undang-undang khas terhadap perbuatan yang melibatkan tindakan menderhaka bukan sekadar di bawah Akta Hasutan 1948 semata-mata.
Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Negeri Pahang, Encik Wan Emril Nizam Wan Embong
“Malah masyarakat khususnya generasi muda perlu dididik supaya memahami sistem Raja Berperlembagaan yang diguna pakai sekian lama di negara ini,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan biadap seorang pemimpin parti politik yang mempersendakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Dalam video berdurasi 36:52 minit itu, lelaki berkenaan cuba memberikan gambaran bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda tidak cakna, tidak peka dan tidak bersuara dengan apa yang menimpa rakyat.
Sehubungan itu, Encik Wan Emril Nizam menggangap tindakan tersebut bukan sahaja menghina malah derhaka apabila pemimpin parti politik berkenaan memuat naik video berhubung ‘total lockdown’ di Youtube miliknya.
“Tindakan itu terlalu biadab dan menderhaka kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap kebiadaban pemimpin parti politik berkenaan kerana kenyataan beliau itu boleh mendatangkan kebencian,” katanya. – PAHANGMEDIA