YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak menyampaikan sumbangan sarapan pagi kepada golongan gelandangan di Jalan Wong Ah Jang hari ini.
KERAJAAN PAHANG CARI INISIATIF SEDIA PEKERJAAN UNTUK GELANDANGAN
Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 1 JUN 2021: Kerajaan Pahang mencari inisiatif untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan gelandangan dalam memastikan mereka dapat menjalani kehidupan baharu.
YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata, beberapa usaha telah diputuskan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan kini dalam peringkat untuk dilaksanakan.
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin melihat sarapan yang diagihkan kepada golongan di Jalan Wong Ah Jang di Kuantan hari ini.
“Kita juga mendapat komitmen daripada beberapa buah syarikat untuk mengusahakan pekerjaan kepada golongan gelandangan ini. Ini membabitkan pelbagai pekerjaan dan kita akan usahakan bersama-sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas meninjau pemberian sarapan kepada kepada golongan rentan dan gelandangan di Jalan Wong Ah Jang di sini hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin dan Setiausaha MBK, YH. Dato’ Hajah Hamiza Hamzah.
Katanya lagi, Kerajaan Pahang juga menyediakan sebuah surau di Jalan Wong Ah Jang ini untuk sebagai permulaan kepada usaha untuk mendekatkan golongan ini kepada masyarakat.
Sementara itu, Dato’ Sri Dr Sallehuddin berkata, di sekitar Jalan Wong Ah Jang ini terdapat kira-kira 250 golongan gelandangan yang terjejas berikutan pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuantan.
YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak
“Mereka ini sangat bergantung kepada ihsan masyarakat. Jadi disebabkan PKPD, mereka ini sangat terkesan, Sebab itu, Kerajaan Pahang menyediakan peruntukan untuk membiayai sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam untuk mereka.
“Disamping itu juga kita mendapat kerjasama daripada beberapa NGO termasuk Pertubuhan Dapur Infaq untuk menyediakan sajian selain mendapat sokongan daripada masyarakat peniaga di seluruh Kuantan.
“Setakat ini, Alhamdulillah hampir semua masyarakat gelandangan di sini mendapat manfaat daripada usaha Kerajaan Pahang, NGO dan swasta ini,” katanya. – PAHANGMEDIA