Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Gambang.

COVID-19: KAPASITI LIMA PKRC PAHANG PADA TAHAP 77 PERATUS

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 28 MEI 2021: Kapasiti pengunaan lima Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini berada pada tahap 77 peratus setakat semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dr. Wan Abdul Rahim Wan Muhamad berkata, pihaknya akan membuka PKRC baharu sekiranya kadar kemasukan pesakit ke PKRC sedia ada telah mencecah 70 peratus.

Menurut beliau, ia sebagai langkah awal yang diambil bagi memastikan tidak berlakunya sebarang masalah atau kesesakan di PKRC sedia ada jika jumlah pesakit bertambah.

“Pembukaan PKRC ini bila kapasiti pesakit di kesemua PKRC sedia ada di seluruh negeri telah pun mencecah 70 peratus bagi mengelakkan kesesakan jika jumlah pesakit baharu terus bertambah.

“Sebagai contoh pada peringkat awal, kita ada dua PKRC iaitu Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM), Kuantan dan Institut Latihan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (i-KPKT) di Bentong dan bila kedua-dua PKRC ini mencapai 70 peratus, kita buka Kompleks Sukan Pahang (SUKPA).

“Bila semalam kadar pesakit yang masuk ke lima PKRC yang ada adalah 77 peratus, kita buka PKRC di sini,” katanya ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas melakukan tinjauan dan taklimat berkenaan PKRC Gambang, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman; Pengarah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Dr. Rahimah Ibrahim; dan Timbalan Pengarah Perubatan 2 HTAA, Dr. Sarifuddin Saad.

Beliau berkata, berdasarkan keadaan semasa, kapasiti di PKRC sedia ada dijangka masih dapat menampung jumlah pesakit baharu di negeri ini.

“Kalau kita lihat, pesakit yang masuk akan keluar sebanyak itu juga. Walau kita telah mencecah 70 peratus, tapi yang akan keluar dalam tempoh 10 hari pun sebanyak itu juga, dan sebenarnya kita masih mempunyai lebihan tempat untuk pesakit.

“Kita juga telah mempunyai lokasi PKRC di negeri ini yang telah dikenalpasti dari awal lagi tetapi proses membuka PKRC ini hanya akan dilakukan sekiranya kadar pesakit yang masuk mencapai 70 peratus supaya kita tidak lewat untuk bersedia,” katanya.

Tambah beliau lagi, kurang daripada satu peratus pesakit yang dimasukkan ke PKRC akan dihantar ke hospital disebabkan kondisi mereka semakin kronik.

“Mungkin dalam satu PKRC hanya ada satu atau dua kes sahaja sehari iaitu kurang daripada satu peratus dan ini akan menyebabkan pesakit tersebut lambat untuk discharge kerana perlu mendapat rawatan di hospital,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengehadkan penyebaran wabak COVID-19 ini dengan mengurangkan pergerakan ke kawasan yang sesak.

“Peningkatan kes akan membuatkan kita membuat pemeriksaan kepada lebih banyak kontak rapat pesakit. Lebih banyak kontak daripada lebih banyak kes menyebabkan hasil ujian semakin lambat kerana fasaliti kita membuat ujian terhad. HTAA boleh buat hanya 900 ujian sahaja dalam sehari.

“Nak mengharapkan negeri lain, terutamanya di Kuala Lumpur dan Kelantan yang ada makmal besar, mereka di sana lebih teruk. Jadi sasaran kita, jangan meningkatkan jumlah ini dengan mengehadkan pergerakan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan,” katanya.- PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds