Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman ketika mengadakan lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Gambang di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

COVID-19: PKRC GAMBANG TEMPATKAN 1,380 PESAKIT BEROPERASI ISNIN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 28 MEI 2021: Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Gambang di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dijangka beroperasi sepenuhnya pada Isnin ini yang dapat menampung seramai 1,380 pesakit.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, setakat ini semua persiapan bagi kemudahan di PKRC ini telah hampir selesai.

“Kita telah selesai dari segi kemudahan di sini seperti pemasangan katil, bilik kecemasan, tandas, tempat solat dan lain-lain lagi yang mana mengikut perancangan sedia ada.

“Kita menjangkakan semua kerja-kerja akhir dari segi pemasangan dan penambahbaikan dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang hari pembukaan iaitu 31 Mei ini.

“PKRC ini menempatkan 690 katil dua tingkat dan khusus bagi pesakit lelaki yang berada dalam kategori 1 dan kategori 2 sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas melakukan tinjauan dan taklimat berkenaan PKRC Gambang, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) , Dr. Wan Abdul Rahim Wan Muhamad; Pengarah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Dr. Rahimah Ibrahim dan Timbalan Pengarah Perubatan 2 HTAA, Dr. Sarifuddin Saad.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang dalam usaha memperkasakan beberapa perkhidmatan seperti kemudahan internet dan kemudahan asas pesakit.

“Kita risau jika pesakit di sini ramai, tetapi capaian internet lemah, maka kita akan pastikan masalah ini dapat diselesaikan selewat-lewatnya Ahad ini.

“Kita nak pastikan pesakit yang ditempatkan di sini dapat berhubung dengan keluarga tanpa masalah.

“Kita juga telah menambah bilangan tandas dan bilik mandi di sini bagi menampung jumlah pesakit mengikut kapasiti PKRC ini menjadikan kesel bilik mandi adalah sebanyak 34 unit dan tandas sebanyak 20 unit,” katanya.

PKRC Gambang merupakan PKRC keenam di buka di negeri ini selepas Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM), Kuantan; Institut Latihan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (i-KPKT) di Bentong; Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS); dan Hospital Jengka. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds