COVID-19 : JUMLAH PESAKIT MASUK KE HOSPITAL MENINGKAT LIMA KALI GANDA DALAM SEBULAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 28 MEI 2021 : Jumlah pesakit positif COVID-19 yang dimasukkan ke hospital di negeri ini menunjukkan peningkatan sebanyak lima kali ganda dalam tempoh satu bulan dengan 8,649 kes positif dilaporkan setakat semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata, sebanyak 1,002 kes dilaporkan di daerah Kuantan sahaja.

“Trend menunjukkan terdapat peningkatan kes yang konsisten bermula daripada pertengahan bulan Mac 2021 sehingga sekarang di daerah Kuantan.

“Pada awal Mac, kurang daripada sepuluh kes sehari dilaporkan namun telah meningkat kepada purata 80 hingga 100 kes sehari bermula 14 Mei 2021 iaitu hari raya kedua,” katanya.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah

Menurut kenyataan tersebut lagi, kebanyakan kes berpunca daripada kluster aktif yang sedia ada di daerah ini selain daripada kes melibatkan kontak rapat.

“Trend juga menunjukkan peningkatan kes bergejala hampir sekali ganda berbanding sebelum ini.

“Kes bergejala ini berpotensi untuk menjangkiti lebih ramai orang disebabkan kadar keberjangkitan yang tinggi terutamanya jika kes lambat dikesan dan dikuarantin. Hampir semua lokaliti di daerah Kuantan mempunyai kes aktif,” katanya.

Beliau berkata, pihak kesihatan juga terpaksa menambah prasarana dan melakukan mobilisasi kakitangannya bagi menampung jumlah pesakit yang bertambah.

“Jika keadaan berterusan, dibimbangi kakitangan kesihatan sedia ada tidak cukup untuk memberikan perkhidmatan kepada pesakit-pesakit tersebut.

Menurut beliau, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terpaksa dilaksanakan di daerah ini bagi membendung penularan jangkitan sebelum ianya menjadi lebih tidak terkawal.

“Saya yakin pelaksanaan PKPD di daerah Kuantan akan berjaya mengurangkan kes jika semua anggota masyarakat mematuhi arahan kawalan pergerakan.

“Semua penduduk perlulah menghadkan pergerakan melainkan jika perlu. Amalkan kuarantin kendiri. Jika bergejala, segera ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk ujian saringan pengesanan COVID-19.

“Pematuhan SOP yang ketat dapat mengurangkan jumlah kes seterusnya PKPD akan dapat ditamatkan seperti yang dirancang. Kita belum menang lagu, tetapi saya yakin dengan usaha-usaha dan komitmen yang tinggi, kita akan menang,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds