Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 25 MEI 2021 : Seramai 35 individu telah dikenakan tindakan kompaun keseluruhannya bernilai RM69,500 kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Daerah Temerloh sepanjang ia dilaksanakan bermula 12 Mei lalu sehingga semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, kesemua kompaun yang dikeluarkan ini melibatkan 33 individu dan dua pemilik premis perniagaan.
“Kesemua individu yang dikenakan kompaun ini disebabkan kesalahan tidak memakai pelitup muka dan tidak mengimbas kod MySejahtera yang melibatkan 10 perempuan dan 23 lelaki yang kesemuanya dikompaun RM1,500 setiap seorang.
“Bagi dua lagi kompaun pula adalah melibatkan premis perniagaan, di mana melibatkan satu kes kesalahan membenarkan pelanggan makan di dalam kedai, dan satu kes lagi melibatkan kegagalan menghadkan bilangan pelanggan di dalam premis pada satu-satu masa, dan pemilik premis telah dikompaun RM10,000,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Menurut beliau, tahap pematuhan SOP di kawasan PKP di Daerah Temerloh dilihat berada pada tahap yang tinggi iaitu 98 peratus.
“Tahap pematuhan sepanjang PKP 3.0 di daerah ini adalah pada tahap 98 peratus manakala tahap pematuhan di dalam kawasan PKPD pula adalah 100 peratus.
“Bermula hari ini kebanyakan premis perniagaan hanya beroperasi dari jam 8 pagi sehingga 8 malam sahaja selari dengan SOP terbaharu yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang dikeluarkan bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan sepenuhnya.
“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP dan tidak berada di luar rumah tanpa tujuan.
“Bagi penduduk yang berada di dalam kawasan PKPD pula, hanya seorang wakil keluarga sahaja yang dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan dan mereka dinasihatkan untuk merancang pembelian dalam tempoh masa yang tidak terlalu lama dan hanya ke kedai di kawasan berhampiran sahaja,” katanya. -PAHANGMEDIA