Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 26 MEI 2021: Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengambil berat dan memeriksa keadaan pendawaian serta perkakas elektrik di rumah atau kedai masing-masing bagi mengelakkan litar pintas daripada berlaku.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, ini kerana ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, semua ahli keluarga akan berada di rumah dan sudah tentu penggunaan elektrik juga bertambah.
“Justeru kita kena pastikan pendawaian dan perkakas elektrik masih dalam keadaan baik bagi mengelakkan litar pintas terutamanya bagi rumah yang usianya telah melebihi 15 tahun.
“Laporkan segera kepada pihak juruelektrik bertauliah di TNB dan lain-lain sekiranya pernah terjadi litar pintas, kebakaran kecil dan bau yang hangit pada pendawaian ataupun alat elektrik sebelum ini.
“Ianya mungkin petanda awal sebelum kejadian tidak diingini terjadi. Gunalah alat elektrik yang mendapat kelulusan SIRIM. Marilah kita beri perhatian serius akan perkara ini.,” katanya di sini, semalam.
Sebelum itu beliau melakukan tinjauan ke gerai makan milik Encik Mohd Najib Ismail di Kampung Padang Rumbia yang hangus terbakar malam semalam.
Dalam lawatan itu juga, beliau sempat bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan daripada Kerajaan Pahang dan sumbangan peribadi bagi mengurangkan beban mangsa yang terlibat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar berkata, Kerajaan Pahang sangat memahami perasaan dan kesusahan yang dialami Encik Najib bersama keluarganya ketika ini.
“Gerai makan yang mereka usahakan selama ini musnah sama sekali. Barang-barang perniagaan seperti peti air minuman, dapur, peti sejuk beku, periuk nasi dan pinggang mangkuk tidak dapat digunakan lagi.
“Ditambah pendapatan perniagaan mereka yang kurang memuaskan sebelum ini dikala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terpaksa dilakukan akibat wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan.
“Justeru, Kerajaan Pahang bersama jabatan yang terlibat dan kepimpinan di Bebar akan melakukan tindakan susulan selepas ini untuk membantu mereka terutamanya bagi memulakan kembali perniagaan,” katanya. – PAHANGMEDIA