39,307 PENDUDUK DI TIGA MUKIM DI LIPIS DIMINTA PATUH SOP PKPD
Oleh: Fansurina Abdullah
KUANTAN, 25 MEI 2021: Seramai 39,307 penduduk dari tiga mukim di Daerah Lipis iaitu Mukim Kuala Lipis, Mukim Penjom dan Mukim Budu yang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 12.01 tengah malam ini.
Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, seramai 18,025 adalah penduduk di Mukim Kuala Lipis, manakala 14,670 di Mukim Penjom dan Budu pula seramai 6,612 penduduk.
“Kesemua mereka diarah untuk kekal di rumah masing-masing dalam tempoh PKPD yang akan dikenakan pada tengah malam ini sehingga 8 Jun depan,” katanya kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini, hari ini.
Tegas beliau lagi, orang ramai yang ingkar terhadap pematuhan SOP boleh dikenakan kompaun sekiranya masih berdegil.
Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga hari ini Mukim Penjom mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 57 kes diikuti Mukim Budu dengan 51 kes manakala Mukim Kuala Lipis merekodkan 24 kes.
YH Dato’ Mohd Hafizi berkata, beberapa kawasan perumahan juga telah dikenakan tindakan PKPD dengan kawalan rapi daripada pihak berkuasa bagi memastikan pergerakan keluar-masuk di kawasan berkenaan dapat dikawal ketat.
Jelasnya, perlaksanaan PKPD ini membolehkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat pengesanan awal kes-kes COVID-19 supaya pengasingan dapat dilakukan segera sebelum ia menjangkiti dan menular di dalam komuniti. – PAHANGMEDIA