MUFTI PAHANG SERU BERSATU PUTUSKAN RANTAIAN COVID-19 DENGAN MENGAMBIL VAKSIN

Oleh : Shazli Sufi Che Unik

KUANTAN, 19 MEI 2021: “Melihat kepada peningkatan kes jangkitan COVID-19 terutamanya di Pahang, adalah penting bagi umat Islam untuk bersatu memutuskan rantaian jangkitan virus ini dengan mendaftar sebagai penerima suntikan vaksin.”

Itu seruan Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Osman kepada semua Islam di Pahang supaya mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi memutusan rantaian COVID-19.

Beliau berkata, pengambilan vaksin ini bertepatan dengan sunnah Nabi SAW yang menyuruh umat Islam berikhtiar dan tidak mencampakkan diri ke dalam kebinasaan dengan menolak pengambilan vaksin.

Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Haji Osman

“Selain itu, mengambil vaksin adalah bertepatan dengan konsep Maqasid Syariah yang menekankan kepada kepentingan memelihara nyawa,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pendaftaran menerima suntikan vaksin COVID-19 di negeri ini terutamanya membabitkan orang Islam yang masih lagi rendah.

Jelas beliau lagi, Islam mementingkan penjagaan kesihatan, kerana tubuh badan adalah pinjaman daripada Allah SWT yang perlu dijaga sebaik mungkin.

“Sebab itu dalam ajaran Islam melarang umatnya melakukan mudarat kepada diri sendiri dan orang lain,” katanya.

Beliau juga mengingatkan umat Islam supaya mengambil sumber maklumat mengenai vaksin ini daripada pihak berkuasa dan jangan mengambil maklumat dari sumber yang tidak sahih.

“Mereka yang mengambil sumber daripada yang tidak sahih ini kemudian menyebarkan maklumat tersebut boleh dianggap sebagai perbuatan fitnah yang perlu dijauhi.

“Umat Islam perlu bijak menilai setiap maklumat yang diberikan dan tidak wajar menolak pendapat majoriti pakar yang mengharuskan pengambilan vaksin dengan mengambil pendapat yang asing sebagai rujukan,” tegasnya.

Katanya lagi, ada umat islam juga dilarang sama sekali menyebarkan maklumat palsu dan tidak sahih kepada masyarakat sehingga menimbulkan kebimbangan dan keraguan masyarakat untuk mengambil vaksin.

Beliau turut menegaskan akan kepentingan umat Islam mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa kerana Islam menuntut umatnya mentaati pemimpin yang dilantik dan boleh membawa kepada dosa jika sengaja melanggar SOP serta membawa mudarat kepada diri sendiri dan orang lain. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds