Gambar hiasan

JANGAN TAKUT DAN DENGAR KHABAR ANGIN, VAKSIN COVID-19 SELAMAT

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 19 MEI 2021: “Saya memang takut jarum tapi sebenarnya tidak sakit pun cucuk vaksin. Jadi orang ramai jangan takut dan dengar khabar angin, sebaliknya semua orang perlu mendaftar dan datang untuk terima vaksin.”

Itu kata seorang penerima vaksin Encik Tham Ah Man, 68, selepas menerima vaksin COVID-19 di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Wisma Belia Indera Mahkota, di sini hari ini.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya mendaftar dan hadir pada sesi temujanji supaya penularan COVID-19 dapat dibendung.

Encik Tham Ah Man, 68,

“Jom kita sama-sama mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19 bagi memutuskan rantaian jangkitan virus ini yang semakin meningkat di negeri ini,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Seorang lagi penerima vaksin, Encik Mat Yusak Mohd Zain, 60, berkata, dia mendaftar menerusi MySejahtera dan berasa lega kerana telah mendapat kedua-dua dos suntikan.

Encik Mat Yusak Mohd Zain, 60.

“Saya tidak mengalami sebarang simptom yang berat hanya alergik gatal-gatal di badan sahaja, saya juga menghidap darah tinggi dan kolestrol jadi merasakan bahawa saya memang perlu kepada suntikan vaksin ini,” katanya.

Bagi Puan Ong Kok Ying, 65, pula berasa gembira dan selamat apabila kesemua ahli keluarganya yang sudah berusia telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

“Kebanyakan ahli keluarga saya yang berusia 60 tahun ke atas telah menerima suntikan COVID-19, hanya yang berusia 60 tahun ke bawah belum menerima temujanji. Suntikan ini penting bagi memastikan kita tidak terkena jangkitan COVID-19 ini,” katanya.

Seorang warga emas dibawa untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Wisma Belia Indera Mahkota, hari ini.

Sementara itu, Penyelaras PPV Wisma Belia Indera Mahkota, Encik Mohd Yusri Mohd Nor berkata, orang ramai yang telah mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 diminta supaya mematuhi temujanji yang telah diberikan bagi memastikan tidak berlaku pembaziran kepada vaksin yang telah ditetapkan bagi setiap penerima.

Beliau berkata, keadaan ini bukan sahaja menyukarkan para petugas sebaliknya turut menyumbang kepada pembaziran vaksin itu sendiri yang telah ditetapkan untuk jumlah penerima berdasarkan jadual yang ditetapkan.

Penyelaras PPV Wisma Belia Indera Mahkota, Encik Mohd Yusri Mohd Nor

“Apabila vaksin Covid-19 itu telah dibawa keluar dari peti khas, ianya tidak boleh disimpan semula, satu bekas vaksin itu boleh disuntik untuk enam orang, jadi satu bekas vaksin itu apabila sudah dibawa keluar dari bilik sejuk beku, dia hanya boleh digunakan untuk 3 ke 4 hari sahaja, kalau tidak membazir,” katanya.

Katanya, setakat ini PPV Wisma Belia menerima seramai 1,000 orang penerima vaksin COVID-19 setiap hari yang hadir mengikut jadual dan temujanji yang telah ditetapkan.

“Jumlah vaksin yang diterima juga adalah bergantung kepada jumlah pendaftar di negeri masing-masing dan berharap lebih ramai rakyat Pahang khususnya di Kuantan dapat mendaftar segera sebagai penerima vaksin sama ada melalui MySejahtera atau pun Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang (SICP) yang dilaksanakan di seluruh negeri ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds