Gambar hiasan

COVID-19: OPERASI PKRC DI PAHANG TERKAWAL

Oleh : Shazli Sufi Che Unik

KUANTAN, 18 MEI 2021: Operasi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini berada dalam keadaan terkawal dan keperluan serta kelengkapan yang disediakan oleh pihak kerajaan masih lagi mencukupi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, walaupun berlaku peningkatan jumlah pesakit, namun operasi PKRC masih lagi terkawal.

“Setakat ini di PKRC SUKPA sudah menempatkan seramai 156 orang pesakit sejak dibuka 15 Mei yang lalu. Kita jangka jumlah pesakit akan bertambah berikutan kemunculan kluster baru di daerah ini,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan beberapa lagi PKRC akan dibuka pada masa akan datang bagi menampung pertambahan pesakit COVID-19 yang semakin meningkat.

“Setakat ini, PKRC yang beroperasi masih berada dalam kawalan dan keperluan serta kelengkapan disediakan oleh pihak kerajaan sebaik mungkin demi menjaga keselesaan pesakit,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap agar masyarakat jangan lalai atau mengambil mudah dengan peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang dilaporkan.

“Ini kerana terdapat segelintir masyarakat yang cuba ‘curi-curi’ melanggar SOP seperti berkumpul beramai-ramai,” katanya.

Beliau juga menyeru agar masyarakat segera mendaftarkan diri untuk menerima vaksin dengan mendaftar melalui melalui aplikasi MySejahtera. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds