Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 13 MEI 2021 : Pihak polis meminta baki penduduk kawasan Tanah Putih Baru yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) seramai kira-kira 30 orang tampil untuk membuat ujian calitan dengan kadar segera.
Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, setakat ini kira-kira 170 penduduk telah tampil membuat ujian calitan yang dijalankan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah baru-baru ini.
“Hari itu kita lihat kira-kira 150 orang hingga 180 orang yang keluar sebelum PKPD di Tanah Putih tapi apabila pihak polis dan Kerajaan Negeri Pahang menghebahkan agar memanggil supaya menyerah diri untuk diambil swab test di Dewan Jubli, ramai yang tampil iaitu antara 170 orang ke 180 orang.
“Yang tinggal lagi daripada jumlah penduduk yang keluar daripada kawasan tersebut kira-kira 20 orang ke 30 orang sahaja yang masih belum tampil untuk membuat swab test,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya di Tanjung Lumpur, di sini, hari ini.
Turut hadir YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.
Beliau berkata kepada baki penduduk yang masih belum tampil melakukan ujian calitan, mereka boleh pergi ke mana-mana klinik kesihatan yang ada.
“Masa di Dewan Jubli telah habis untuk mereka datang buat ujian calitan tapi mereka boleh pergi ke mana-mana klinik kesihatan untuk dibuat ujian calit ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 39 sekatan jalan raya dijalankan di seluruh negeri ini yang melibatkan sekatan antara daerah dan juga sekatan antara negeri.
“Buat pertama kalinya, kita akan memberi amaran mesra kepada mereka agar berpatah balik dan setakat ini semua pengguna jalan raya telah mematuhi arahan dan mereka telah menyediakan surat kebenaran rentas negeri.
“Dan dalam tempoh 24 jam ini juga, sebanyak 2,439 permohonan merentas negeri dan daerah telah dikemukakan dengan jumlah kelulusan 2,306 dan jumlah ditolak 133. Dan kebanyakan yang kita lulus ini adalah atas alasan untuk melawat isteri atau suami, manakala 133 ini tidak mempunyai alasan yang kukuh yang kita terpaksa tolak,” katanya.
Tambah beliau lagi, pihak polis juga telah mengatur 165 pasukan pemantau pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam tempoh 24 jam ini.
“Dalam tempoh 24 jam ini dengan 1,937 kali pemantauan di buat di semua premis-premis dan tempat-tempat kediaman bagi memastikan orang ramai dan peniaga-peniaga mematuhi SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumumkan oleh pihak Kerajaan ke atas negeri Pahang.
“Sebanyak dua kompaun telah dikeluarkan atas individu dan satu premis telah dikenakan kompaun kerana melanggar SOP, manakala jumlah tangkapan kerana melanggar SOP sejak PKP 1.0 dilaksanakan adalah seramai 1,429 orang,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh Kerajaan dan mematuhi SOP yang dilaksanakan demi kebaikan bersama semua pihak. -PAHANGMEDIA