YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika melakukan melakukan tinjauan di sekatan jalan raya di Tanjung Lumpur.

SEMUA KEMUDAHAN KESIHATAN DI PAHANG MASIH MENCUKUPI TAMPUNG PESAKIT COVID-19

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 13 MEI 2021 : Semua kemudahan kesihatan di negeri Pahang masih mencukupi dan mampu menampung jumlah pesakit COVID-19 yang meningkat sejak minggu lepas.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang memberi jaminan kapasiti katil di semua hospital di negeri ini masih mencukupi.

“Setakat ini katil di Pahang masih mencukupi dan belum sampai tahap maksimum lagi walaupun jumlah kes COVID-19 semakin meningkat kebelakangan ini.

“Dari segi kemudahan kesihatan di negeri Pahang setakat ini kita tidak ada masalah, kita sedang buat sehabis baik, dan semua pihak telah bersedia untuk memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika melakukan melakukan tinjauan di sekatan jalan raya di Tanjung Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya di Tanjung Lumpur, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Pahang, YH. Dato’ Sri Abd Jalil Hassan; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.

Mengulas mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berkata ini bagi memastikan kadar jangkitan dapat dikawal daripada menjadi lebih parah.

“Kalau tidak ada PKP, kita benarkan masih boleh pergi berziarah, kemungkinan kes akan mencecah 10,000 kes satu hari, dan ini sangat membimbangkan, lebih baik kita cegah sebelum parah. Jadi saya harap semua pihak dapat menerima perintah ini demi kebaikan kita semua.

“Peningkatan (kes COVID-19) yang menyebabkan kerajaan terpaksa buat sesuatu. Kalau tidak keadaan akan jadi lagi parah, lagi teruk, dan nanti mungkin di luar kawalan. Jadi oleh sebab peningkatan kes dan kita dapati ada lagi segelintir netizen yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan. Jadi kita tak ada pilihan lainlah. Jadi tujuannya untuk memutuskan penularan wabak COVID-19 ini, tak ada niat lain,” katanya.

Tambah beliau lagi, sekatan jalan raya yang dijalankan di negeri ini bertujuan mengurangkan pergerakan orang ramai bagi memastikan wabak ini dapat dihalang daripada terus merebak.

“Memang tidak dapat dinafikan apabila ada sekatan jalan raya, pergerakan orang ramai akan sedikit terganggu dan inilah tujuan utama kita buat PKP, untuk mengurangkan pergerakan orang ramai.

“Kalau tidak ada sekatan jalan raya dan semua bebas bergerak ke sana ke sini, maknanya kita tidak akan berjaya mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 dan akhirnya ia akan menyusahkan semua pihak,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds