Seorang lelaki yang memakai gelang pink ditahan pihak polis apabila ditemui keluar dari rumahnya di kawasan PKPD di Raub menyebabkan dia dikompaun RM5,000.
LELAKI PAKAI GELANG PINK DITEMUI MERAYAU DIKOMPAUN RM5,000
Oleh : Ain Nadhirah Basha Foto : Ihsan IPD Raub
KUANTAN, 06 MEI 2021 : Memberikan alasan cuaca panas untuk keluar berjalan walaupun diarahkan untuk kuarantin di kediaman menyebabkan seorang lelaki dikompaun RM5,000 di Raub.
Ketua Polis Daerah Raub, Supt. Kama Azural Mohamed berkata lelaki berusia 73 tahun berkenaan antara tiga lelaki yang ditahan kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) disini.
“Seorang Orang Kena Kompaun (OKK) dikompaun di bawah Perkara 22(b) PPPDPPB dengan jumlah kompaun RM 5,000 kerana gagal kuarantin di rumah sendiri setelah memakai gelang berwarna merah jambu.
“Alasan yang diberikan oleh OKK kerana keluar rumah setelah dikuarantin adalah panas berada di rumah dan ingin bersiar-siar.
“Dua lagi OKK telah dikompaun di bawah Perkara 25(a) PPPDPPB 2021 dengan jumlah kompaun RM 2,000 atas kesalahan berkumpul dan makan di kedai dalam kawasan PKPD tanpa alasan munasabah,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).
Anggota polis mengeluarkan kompaun terhadap dua lelaki masing-masing RM2,000 apabila ditemui makan di kedai dalam kawasan PKPD di Raub.
Beliau berkata operasi penguatkuasaan SOP PKPD di daerah itu dijalankan di tiga kawasan iaitu sekitar Sungai Klau, Sungai Chalit dan Sungai Ruan melibatkan 17 anggota dan pegawai.
Menurut beliau lagi, alasan yang diberikan oleh ketiga-tiga OKK adalah tidak munasabah sama sekali dan tindakan tegas akan dilakukan secara berterusan oleh pihaknya kepada mereka yang ingkar.
“Alasan sebegini adalah sangat tidak munasabah dan boleh merebakkan jangkitan COVID-19 kepada umum sekiranya OKK didapati positif.
“Saya menasihatkan orang ramai supaya patuh dengan arahan kuarantin yang diarahkan. Jangan menyusahkan orang lain dengan melanggar arahan dan tindakan tegas akan berterusan diambil.
“Saya juga memohon orang awam untuk menyalurkan maklumat berterusan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat mereka yang melanggar SOP yang ditetapkan bagi memastikan jangkitan ini dapat diputuskan dengan segera,” katanya. -PAHANGMEDIA